18 tangkapan, 177 saman direkod di Machang

IPD Machang melakukan 18 tangkapan dan 177 saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 19 yang bermula bermula Rabu hingga Sabtu lalu. - Foto PDRM
IPD Machang melakukan 18 tangkapan dan 177 saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 19 yang bermula bermula Rabu hingga Sabtu lalu. - Foto PDRM
A
A
A

MACHANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang melakukan 18 tangkapan dan 177 saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 19 yang bermula bermula Rabu hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, 10 daripada jumlah tangkapan yang direkodkan itu melibatkan pemandu dan penumpang yang didapati positif dadah.

"Kesemua mereka ini akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala empat lagi suspek yang ditahan disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua lagi bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, polis juga turut membuat dua tangkapan berkait kes jenayah yang disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Adli berkata, sebanyak 39 daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan tidak patuh lampu isyarat.

Ujarnya, kesalahan tidak pakai tali pinggang keledar merekodkan12 saman, menggunakan alat komunikasi ketika memandu (sembilan), memotong garisan berkembar (enam), tidak pakai topi keledar (lima), dan 106 saman melibatkan lain-lain kesalahan.

"Pergerakan lalu lintas dalam tempoh Op Selamat sehingga tempoh ini didapati tidak berlaku kesesakan.

"Warga pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan," katanya.