Polis tahan tiga lelaki, rampas mercun bernilai RM408,943

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan mercun yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek.
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan mercun yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang peniaga ditahan bersama dua pekerjanya yang mana salah seorang daripada mereka warga asing selepas polis merampas mercun dan dadah dalam serbuan pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun dalam operasi tapis.

Menurutnya, polis menahan ketiga-tiga suspek di Batu Maung, Bayan Lepas dalam dua serbuan bersama pelbagai jenis mercun bernilai RM408,943 dan 6.4 gram ketamin dan 18 biji Eramin 5 bernilai RM3,660.

"Serbuan pertama dibuat selepas kita menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah. Susulan daripada itu, kita menahan sebuah kenderaan di Batu Maung yang dinaiki tiga lelaki pada jam 11 malam, 19 Januari.

"Setelah pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kita menemui dua jenis dadah iaitu ketamin dan Eramin 5 serta 81 kotak dan 527 pek pelbagai jenis mercun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.

Kesemua mercun yang dirampas dibawa masuk dari negara jiran.
Kesemua mercun yang dirampas dibawa masuk dari negara jiran.

Beliau menambah, serbuan kedua melibatkan sebuah premis di kawasan sama iaitu selepas dua jam penahanan tiga suspek tersebut.

"Dalam serbuan tersebut, kita merampas 44 guni dan 333 kotak pelbagai jenis mercun. Kesemua mercun ini dipercayai dIbawa masuk dari negara jiran untuk dijual untuk perayaan Tahun Baru Cina di sekitar negeri ini.

"Kita percaya, mereka ini mempunyai rangkaian sindiket dan ini bukan kali pertama mereka menyeludup mercun-mercun ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily, dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek direman sehingga 24 Januari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.