Sabah dicadang guna gelaran 'Premier' bagi jawatan KM

Newmond Tibin
Newmond Tibin
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dicadangkan untuk mengikut langkah Sarawak yang menggunakan gelaran Premier bagi jawatan Ketua Menteri.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin), Newmond Tibin berkata, penyelarasan nama gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier wajar dilakukan bagi menggambarkan kedudukan 'setara' dalam Persekutuan Malaysia.

"Mengikut perjanjian asal pembentukan Malaysia 1963 (MA63), wilayah Sabah, Sarawak dan Malaya (Semenanjung) adalah setara.

"Dalam hal ini, Pekadin berpendapat gelaran jawatan Ketua Menteri seeloknya serupa atau sama iaitu Premier bagi Sabah dan Sarawak selaras kedudukan kedua negeri itu yang setara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, ini kerana Melaka dan Pulau Pinang yang termasuk dalam wilayah Tanah Melayu menerusi MA63 juga menggunakan gelaran Ketua Menteri.

"Tentu sekali tiada masalah terus menggunakan nama gelaran jawatan Ketua Menteri yang berbeza bagaimanapun ada baiknya disesuaikan dengan tuntutan semasa dengan mengambil kira kedudukan yang setara dengan Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pekadin menyarankan supaya perkara itu dibawa dan dibincangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Mac depan.

Sebelum itu, gelaran jawatan Ketua Menteri Sarawak secara rasmi ditukar kepada kepada 'Premier Sarawak' pada 31 Mac 2022.