Tolak perbezaan parti, ideologi politik - Sulaiman

Sulaiman (lima dari kiri) ditemani isteri, Datin Seri Munira M Yusop hadir ke kediaman Poay Tiong di Jalan Ong Kim Wee, sini pada Ahad.
Sulaiman (lima dari kiri) ditemani isteri, Datin Seri Munira M Yusop hadir ke kediaman Poay Tiong di Jalan Ong Kim Wee, sini pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Perbezaan parti dan ideologi politik bukan penghalang untuk mengamalkan konsep saling menghormati, kepercayaan beragama dan budaya dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, konsep itu penting diamalkan dan perlu ada dalam setiap diri bergelar rakyat negara ini terutama ketika meraikan perayaan berbilang bangsa.

Menurutnya, ketidakhadiran pemimpin BN ke rumah pemimpin DAP terutama pada musim perayaan sebelum ini biarlah ia menjadi sejarah, namun di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan keharmonian mesti dikekalkan.

"Sejarah ketidakhadiran sebelum ini biar menjadi sejarah.

"Dalam konteks hidup muhibah dan perpaduan kaum mestilah ada jiwa kasih sayang, saling hormat menghormati dan ketepikan ideologi kepartian agar ada nilai nilai kebersamaan dan keterangkuman," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Terdahulu, Sulaiman berkesempatan mengunjungi kediaman Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Ong Kim Wee, sini pada Ahad.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, apa yang berlaku di bawah Kerajaan Perpaduan menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan apabila selama 15 tahun beliau tidak pernah menerima kunjungan mana-mana ketua pemimpin negeri.

"Kali pertama Ketua Menteri daripada UMNO meraikan Tahun Baharu Cina bersama sejak mula menjadi wakil rakyat pada 2008.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan menziarahi kediaman saya sekali gus memecah tradisi ziarah-menziarahi," katanya.