Lima termasuk dua kanak-kanak maut kemalangan

Keadaan Perodua Myvi dan Honda Stream remuk selepas terlibat kemalangan pada Ahad.
Keadaan Perodua Myvi dan Honda Stream remuk selepas terlibat kemalangan pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Lima termasuk dua kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini pada Ahad.

Mangsa yang maut ialah Masrina Kahdar, 21; Muhammad Zharfah Noramin, 16; Muhammad Adil Abdul Kadir, 23, dan Muhammad Syakir Noramin serta Mohammad Ashraf Radiq Mohd Arifin masing-masing berusia 11 tahun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 5.08 petang itu melibatkan kereta Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Perodua Myvi yang dinaiki lapan penumpang dari arah Kluang menghala ke Kahang manakala Honda Stream dinaiki tiga orang dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan. Perodua Myvi kemudian melanggar Honda Stream sebelum Honda Stream berkenaan terbalik dan jatuh ke kawasan lapang di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, lima mangsa yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga cedera.

"Tiga penumpang Perodua Myvi yang cedera ialah Mohd Sharizan Syafandi, 24; Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 6, dan Siti Nurzannah Binti Kahdar, 25.

"Siti Nurzannah, Masrina, Muhammad Zharfan dan Muhammad Syakir Noramin merupakan adik beradik manakala Zulkeflly dan Kamariah adalah pasangan suami isteri manakala Ariana Nur Batrisyah adalah anak mereka," katanya.

Menurutnya, tiga mangsa menaiki Honda Stream iaitu sepasang suami isteri, Zulkeflly Zakariah, 54, (pemandu) dan Kamariah Yusoff, 47, serta anak mereka, Ariana Nur Batrisyah, 13.

"Pemandu dan penumpang Perodua Myvi beralamat di Muar, Selangor, Kuala Lumpur, Arau, Perlis, Hulu Langat, Layang Layang.

"Pemandu dan penumpang Honda Stream pula kesemuanya berasal dari Batu Pahat," katanya.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di zon kuning dan merah di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shamsul Amri Mohd Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada jam 4.40 petang.

Susulan itu katanya, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

"Pihak bomba mengeluarkan seorang mangsa dalam MPV Honda Stream menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke Hospital Kluang menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

"Mangsa lain yang terlibat telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai di lokasi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Terkena renjatan elektrik ketika selamatkan mangsa kemalangan

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah kumpul duit untuk beli hadiah hari lahir rakan sekelas

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah dua beradik maut kemalangan selamat dikebumikan

ARTIKEL BERKAITAN:Seorang lagi maut, mangsa mahu pergi berkelah di Mersing

ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat tiga beradik tunang serentak tidak kesampaian