[VIDEO] Terkena renjatan elektrik ketika selamatkan mangsa kemalangan

Jenazah nahas kemalangan dua kenderaan dekat Kahang dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Hajjah Besar Kalsom, Kluang. Gambar kecil: Mohd Arifin
Jenazah nahas kemalangan dua kenderaan dekat Kahang dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Hajjah Besar Kalsom, Kluang. Gambar kecil: Mohd Arifin
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Luluh hati seorang bapa melihat anak yang masih kecil terkulai selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bersama enam penumpang lain terbabit kemalangan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat- Mersing pada petang Ahad.

Menceritakan pengalaman tragis itu, Mohd Arifin Syamsuddin, 32, mendakwa dia mengalami renjatan elektrik sewaktu mengangkat anak dan ahli keluarga yang lain selepas kemalangan berlaku.

Jelasnya, renjatan elektrik itu dipercayai berpunca daripada pagar elektrik yang ada di kawasan itu.

“Saya cuba menyelamatkan mereka dengan turun ke kawasan tebing, memang terasa ada renjatan elektrik namun tidak menghiraukannya. Pakcik saya yang membantu turut mengalami renjatan elektrik.

“Saya menyelamatkan mereka bermula dengan mendukung anak kedua Nur Annalesha Rania, 6, yang diriba ibu saudaranya, Siti Nurzannah di kerusi penumpang hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Hajjah Besar Khalsom ( HEHBK) di sini pada malam Ahad.

Gambar kenangan pada Aidilfitri lalu, Siti Nurzannah (belakang, kiri), Masrina (tengah), Mohd Ashraf (depan, kiri) dan Annalesha (depan, kanan).
Gambar kenangan pada Aidilfitri lalu, Siti Nurzannah (belakang, kiri), Masrina (tengah), Mohd Ashraf (depan, kiri) dan Annalesha (depan, kanan).

Mohd Arifin memberitahu, mereka sekeluarga sebelum itu dalam konvoi menaiki tiga kenderaan dari Layang-layang menuju ke Mersing untuk menziarahi bapa saudara dan berkelah di Pantai Air Papan, Mersing.

Dalam nahas itu, anak sulung Mohd Arifin, Mohd Ashraf Rafiq, 11, dan sepupunya yang juga adik beradik Muhammad Zharfan Noramin, 15 dan Muhammad Syakir, 10 turut terkorban.

Adik iparnya, Siti Nurzannah Kadhar 25, dan Masrina Kadhar, 20, juga terbunuh di samping, seorang lagi kenalan keluarga mereka iaitu Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22.

Manakala, Annalesha Rania masih lagi menerima rawatan di HEHBK kerana cedera di bahagian kepala dan pinggul.

Mohd Arifin berkata, Mohd Ashraf tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap namun sempat memberikan wang RM40 untuk dibelanjakan untuk bercuti.

Rosnina bersama Siti Nurzannah (belakang) dan Masrina.
Rosnina bersama Siti Nurzannah (belakang) dan Masrina.

“Saya hairan entah kenapa Mohd Ashraf mahu menaiki Perodua Myvi itu bersama sepupunya walaupun saya melarangnya. Selama ini kami sekeluarga tidak pernah naik kereta berasingan,"katanya.

Sementara itu, isterinya Rosnina M Riyanto, 28, turut menceritakan detik cemas melihat kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua orang anaknya melambung dari pandangan cermin sisi kereta.

"Kami terdengar bunyi dentuman dan menjerit menyebut nama anak. Suami terus membuat pusingan U namun ketika itu kereta berkenaan sudah terbalik di bahu jalan. Suami terus meluru keluar dari kereta untuk menyelamatkan anak dan mangsa yang lain," katanya.

Keadaan di pekarangan Unit Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Hajjah Besar Khalsom ( HEHBK) Kluang dipenuhi keluarga dan saudara mangsa pada malam Ahad.
Keadaan di pekarangan Unit Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Hajjah Besar Khalsom ( HEHBK) Kluang dipenuhi keluarga dan saudara mangsa pada malam Ahad.

Rosnina tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih ketika berkongsi mengenai peribadi anaknya Mohd Ashraf yang mesra disapa sebagai abang.

"Arwah sangat penyayang dan rapat dengan dua orang adiknya yang berusia enam dan dua tahun. Dia juga rapat dengan saya dan rajin membantu menjaga adiknya," katanya.

Ujarnya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Keramat, Kuala Lumpur, manakala kedua adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Hulu Langat Selangor.

Semua jenazah mangsa selesai proses bedah siasat dan dituntut oleh waris pada pagi Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan enam maut termasuk dua kanak-kanak selepas sebuah Perodua Myvi dinaiki lapan individu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Honda Stream di KM 71 Jalan Mersing-Kluang, di sini, pada kira-kira jam 4.40 petang pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN:Lima termasuk dua kanak-kanak maut kemalangan

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah kumpul duit untuk beli hadiah hari lahir rakan sekelas

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah dua beradik maut kemalangan selamat dikebumikan

ARTIKEL BERKAITAN:Seorang lagi maut, mangsa mahu pergi berkelah di Mersing