6 negeri berisiko banjir kilat dalam tempoh 24 jam

Enam negeri dijangka dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir signifikan. - Gambar hiasan
Enam negeri dijangka dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir signifikan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di enam negeri pada 4 petang, Ahad.

Ia membabitkan negeri Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak.

JPS menerusi kenyataan memaklumkan notis itu dibuat berdasarkan maklumat ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terlibat jika berlaku hujan lebat atau ribut petir signifikan.

Di Johor, daerah terlibat ialah Batu Pahat melibatkan Mukim Sungai Punggor, Mukim Simpang Kanan, Mukim Sri Medan dan kawasan sekitarnya; Kota Tinggi (Mukim Sedili dan kawasan sekitarnya).

Dua lagi daerah di negeri itu ialah Muar (Mukim Sri Menanti, Mukim Ayer Hitam, Mukim Bandar, Mukim Jalan Bakri, Bandar Maharani dan kawasan sekitarnya) serta Pontian (Mukim Rimba Terjun, Mukim Ayer Masin, Mukim Pontian, Mukim Ayer Baloi, Mukim Benut, Mukim Sungai Pinggan dan kawasan sekitarnya).

Di Melaka, sebanyak dua daerah dijangka terlibat iaitu Melaka Tengah (Mukim Umbai, Mukim Telok Mas, Mukim Padang Temu, Mukim Alai, Mukim Ujong Pasir, Mukim Bukit Bintang, Mukim Padang Semabok, Mukim Duyong, Mukim Bukit Piatu, Mukim Bukit Katil Mukim Bukit Rambai Mukim Tangga Batu, Mukim Sungai Udang dan kawasan sekitarnya).

Di Jasin pula membabitkan Mukim Ayer Panas, Mukim Nyalas dan kawasan sekitarnya.

Di Pahang, tiga daerah diramal terlibat iaitu Temerloh (Mukim Perak, Mukim Jenderak, Mukim Bangau, Mukim Bandar Temerloh, Mukim Sanggang serta kawasan sekitarnya), Bera (Bandar Triang, Mukim Triang, Mukim Bera dan kawasan sekitarnya) serta Maran (Mukim Kertau, Mukim Chenor serta dan kawasan sekitarnya).

Di Selangor, tiga daerah turut disenaraikan sebagai lokasi berisiko banjir kilat meliputi daerah Klang (Pekan Pandamaran, Bandar Klang, Mukim Kapar), Petaling (Bandar Shah Alam, Pekan Batu Tiga, Mukim Damansara, Mukim Bukit Raja) dan Kuala Selangor (Mukim Pasangan dan Pekan Bestari Jaya).

Sementara itu di Negeri Sembilan, sebanyak tiga daerah terlibat iaitu Jelebu (Mukim Kenabori, Mukim Ulu Klawang, Mukim Pertang), Jempol (Mukim Serting Ulu, Mukim Pekan Batu Kikir) dan Tampin (Mukim Gemas, Mukim Gemencheh).

Di Sarawak, dua daerah dijangka terjejas iaitu Bahagian Kuching (Bandar Kuching) dan Bahagian Samarahan (Kampung Mang, Kampung Tanjung Bundong, Kampung Empila, Kampung Tanjung Parang, Kampung Bangka Semong serta Kampung Nuip).

JPS memaklumkan notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

"Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.