UMNO Terengganu digesa lapor SPR, SPRM - Ahmad Maslan

Ahmad (empat dari kanan) menziarahi Ng Sea Bu dan keluarganya sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pulai Sebatang pada Ahad.
Ahmad (empat dari kanan) menziarahi Ng Sea Bu dan keluarganya sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pulai Sebatang pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] UMNO Terengganu digesa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung dakwaan pemberian wang oleh segelintir individu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan pihak berkuasa biarpun petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan Marang sudah difailkan.

"Saya difahamkan daripada maklum balas UMNO Terengganu, ketika kempen PRU15 lalu terdapat individu yang memberikan wang membabitkan RM150 kepada belia, siswa-siswi (RM300) manakala orang kurang upaya (OKU) dan pesara pula diberikan RM600.

"Timbul permasalahan di sini disebabkan pemberian itu dibuat beberapa hari sebelum pembuangan undi dilakukan. Sekiranya bantuan biasa dan dibuat sebelum pembuangan undi dan bukan waktu berkempen, itu bolehlah dianggap sebagai bantuan kerajaan negeri kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi pemimpin MCA Bahagian Pontian, Datuk Ng Sea Bu di Pulai Sebatang di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu dilaporkan memfailkan petisyen melibatkan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, seorang pengundi, yang juga wakil kepada calon Barisan Nasional Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dilaporkan telah memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 3 Januari bagi mencabar keputusan PRU15 di kawasan terbabit.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, situasi yang berlaku di tiga Parlimen di Terengganu hampir serupa dengan situasi yang berlaku di Cameron Highland sebelum ini.

"Kita melihat apa yang berlaku di Cameron Highlands sebagai rujukan sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan atas perkara lebih kurang sama," jelasnya.