AS wajar tarik balik nasihat perjalanan ke atas Malaysia: KPN

fuzi
fuzi
A
A
A

KUNAK - Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat dengan menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang ditanda K iaitu mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan, wajar ditarik balik, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Pada pandangan beliau, perkara itu mendukacitakan kerana Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat terhadap Malaysia itu sebagai tidak berasas serta tidak mantap.

"Malaysia dari segi aspek kawalan keselamatan sentiasa serius dan siap siaga untuk menghadapi apa jua kemungkinan

"Tahap kawalan keselamatan kita ketika ini kita beri perhatian khususnya di pantai timur Sabah dan di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita bekerjasama dengan agensi-agensi sahabat keselamatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata pengeluaran Nasihat Perjalanan itu bercanggah dengan statistik kemasukan pelancong ke negara ini, termasuk ke kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang meningkat dari semasa ke semasa.

"Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan itu bersifat menjejaskan keyakinan orang ramai termasuk pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke pusat peranginan di negara ini, khususmya kawasan pantai," katanya.

Sementara itu, katanya PDRM giat memantau penyusupan masuk pengganas asing atau Foreign Terrorist Fighters (FTF) ke negara ini, dengan Sabah sebagai salah satu tempat hendak dijadikan pusat transit oleh elemen Daesh sebelum ke Selatan Filipina.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurutnya keadaan itu setakat ini khususnya di Sabah adalah terkawal dengan operasi berterusan dilaksanakan.

"Pada Mac lalu ada 13 tangkapan FTF termasuk di Sabah.

"Kita tahu kehendak mereka mahu menjadikan Sabah sebagai transit ke Selatan Filipina tetapi kita tidak akan membenarkan gerakan itu berlaku," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan anggota PDRM tidak leka dengan kejayaan yang diperoleh kerana dalam era ini wujud pelbagai lagi ancaman yang boleh datang pada bila-bila masa termasuk ancaman Daesh.

Katanya, air tidak selalu tenang, begitu juga situasi keadaan keselamatan yang perlu konsisten di pantau serta diawasi dari semasa ke semasa.- Bernama