'Doktor' bekal dadah di pusat hiburan ditahan

Sebahagian pengunjung yang ditahan pihak polis dalam serbuan di tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang pada awal pagi Sabtu.
Sebahagian pengunjung yang ditahan pihak polis dalam serbuan di tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 78 individu termasuk seorang lelaki warga asing dikenali sebagai 'doktor' yang membekalkan dadah selepas melakukan operasi di tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki warga asing berusia 32 tahun itu merupakan pembekal dadah di pusat-pusat hiburan dan diberkas di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat.

"Susulan daripada tangkapan ini, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 17 hingga 33 tahun bersama sejumlah rampasan dadah. Suspek yang bergelar 'Doktor' ini tiada Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

"Dia tiada kelayakan sebenar sebagai doktor dan cuma dikenali di pusat hiburan sebagai doktor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, operasi yang melibatkan 39 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Johor melakukan serbuan tersebut pada jam 1 hingga 3 pagi.

Menurutnya, hasil daripada operasi berkenaan seramai 246 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 78 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan.

Kamarul Zaman memberitahu, mereka terdiri daripada 55 lelaki tempatan, 15 wanita tempatan, tiga lelaki warga asing dan lima wanita warga asing berusia antara 16 hingga 68 tahun.

"Doktor berkenaan dan dua rakannya merupakan antara 78 individu yang ditahan. Menerusi operasi ini kita menjalankan ujian air kencing dan mendapati 68 individu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), methampetamine dan ketamine.

"Mereka yang positif dadah terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita. Menerusi serbuan ini kita kita telah berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah iaitu 3.43 serbuk ekstasi bernilai RM171,801; 417.08 gram ketamine (RM62,562); 423,23 gram atau 1,368 biji pil ekstasi (RM21,161) dan 83.64 gram atau 300 biji pil Eramin 5 (RM6,273)," katanya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM261,797 manakala dadah yang dirampas itu boleh digunakan 15,206 penagih.

Pihak polis ujar Kamarul Zaman, turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM115,000 dan wang tunai RM31,218 dengan jumlah sitaan RM146,318 manakala keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan RM408,015.

Turut dirampas katanya, tiga unit speaker; dua televisyen; dua unit 'receiver wireless microphone'; tiga unit mikrofon; satu unit equalizer; satu unit 'audio equilizer' dan satu unit 'power am'.

Siasatan mendapati katanya, dua daripada pusat hiburan tersebut gagal mengemukakan lesen perniagaan dan hiburan yang sah manakala sebuah lagi pusat hiburan didapati beroperasi lebih masa daripada ditetapkan.

Tambahnya, semua suspek direman selama satu hingga enam hari bermula Sabtu sehingga 26 Januari ini untuk siasatan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1957; Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.

Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) serta Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ) 4/98.