Op Bersepadu: Anggota JPJ menyamar penumpang bas

Aedy Fadly turut memberikan cendera hati kepada penumpang ketika melakukan pemeriksaan di TBS pada Jumaat.
Aedy Fadly turut memberikan cendera hati kepada penumpang ketika melakukan pemeriksaan di TBS pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 2,000 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) digerakkan sepanjang Op Bersepadu di seluruh negara bermula Rabu sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan menggunakan beberapa kaedah pemantauan termasuk penyamaran anggota sepanjang 10 hari Op Bersepadu dilaksanakan.

"Kita akan tempatkan anggota JPJ untuk menyamar sebagai penumpang bas dan akan memantau serta melihat sendiri bagaimana pemandu berkenaan memandu.

"Anggota berkenaan akan mengambil tindakan sekiranya mendapati ada kesalahan yang dilakukan. Kita akan ambil tindakan terhadap pemandu dan pengusaha syarikat bas terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Jumaat.

Aedy Fadly berkata, Op Bersepadu berkenaan akan dijalankan seiring dengan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2023 dengan menekankan aspek keselamatan pemandu serta penumpang.

"Sebanyak 77 depoh dan 28 terminal bas utama di seluruh negara akan diperiksa dengan mensasarkan pemeriksaan teknikal bas ekspres dan pemandu termasuk saringan urin bagi memastikan pemandu bebas dadah.

"Kita juga akan melaksanakan rondaan berkala sepanjang operasi itu selain melakukan kaedah penyamaran bagi memastikan tiada pemandu bas melakukan kesalahan ketika memandu.

"Ini termasuk tujuh kesalahan utama seperti menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu yang disaman melibatkan tujuh kesalahan utama berkenaan akan dikenakan mata demerit di bawah Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang membolehkan lesen memandu digantung atau dibatalkan.

Pada masa sama, katanya, bagi melancarkan aliran trafik JPJ tidak akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di semua laluan sebaliknya bekerjasama dengan pemilik konsesi lebuh raya dan badan penguat kuasa lain untuk membuat rondaan berkala di lokasi panas berlakunya kemalangan.

Selain itu, beliau berkata, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan dua hari sebelum dan selepas perayaan Tahun Baharu Cina untuk mengurangkan risiko kemalangan.

"Pengguna jalan raya diharap dapat melaporkan kesalahan lalu lintas sepanjang tempoh Ops Bersepadu dan menyalurkan aduan menggunakan aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan email JPJ aduantrafik@jpj.gov.my," ujar beliau.