'Harap MBK beri sedikit ihsan bantu mereka terlibat'

Pokok tumbang: 'Harap MBK beri sedikit ihsan bantu mereka'

Andansura melihat kerosakan kenderaan yang dialami oleh salah seorang mangsa kejadian pokok tumbang pada petang Khamis.
Andansura melihat kerosakan kenderaan yang dialami oleh salah seorang mangsa kejadian pokok tumbang pada petang Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Satu rundingan akan diatur bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam masa terdekat bagi mempertimbangkan sebarang bentuk bantuan atau pampasan kepada keluarga terlibat dengan kejadian pokok tumbang di Kampung Balok Baru, pada petang Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, kejadian itu bukan hanya melibatkan kehilangan nyawa tetapi juga harta benda penduduk seperti kerosakan kenderaan.

"Saya dimaklumkan ada enam kenderaan yang rosak dan mereka tidak boleh membuat tuntutan insuran atas alasan kejadian disebabkan bencana alam. Saya lihat hampir sebahagian (mangsa) perlu berbelanja tidak kurang RM5,000 hingga RM6,000 bagi membaiki sesebuah kenderaan (mengikut kerosakan).

"Jadi, saya harap pihak MBK dapat memberi sedikit ihsan dan ruang untuk membantu mereka yang terlibat," katanya yang kini sedang mengumpul laporan polis mangsa terlibat dalam kejadian pada Jumaat.

Sebelum itu, Andansura menziarahi keluarga kanak-kanak yang patah tangan kanan terkena kabel elektrik selepas pokok besar terbabit tumbang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seorang remaja perempuan, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, maut selepas dihempap pokok setinggi kira-kira 30 meter.

Andansura memaklumkan keluarga arwah Aliya Zahra tidak dapat diziarah memandang keluarga tersebut pulang ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu.

Sehubungan dengan itu, Andansura memohon pihak MBK supaya memberi perhatian kepada aduan pokok-pokok besar dan tinggi yang berisiko bagi mengelak insiden sama berlaku.

Beliau mendakwa musibah seumpama ini kerap berlaku beberapa tahun kebelakangan ini terutama ketika musim angin kuat.

"MBK perlu lebih proaktif dengan memberi perhatian kepada aduan-aduan yang dibuat dan memantau pokok-pokok besar dalam kawasan pentadbiran mereka bagi menjaga keselamatan penduduk.

"Saya difahamkan ada aduan penduduk yang sudah agak lama masih belum diambil tindakan," kata beliau lagi.