Remaja perempuan maut dihempap pokok tumbang

Anggota bomba melakukan pembersihan sisa pokok tumbang yang menghempap seorang remaja perempuan dalam kejadian di Balok Baru 1 pada Khamis.
Anggota bomba melakukan pembersihan sisa pokok tumbang yang menghempap seorang remaja perempuan dalam kejadian di Balok Baru 1 pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja perempuan maut akibat dihempap pokok tumbang ekoran angin kencang yang melanda kawasan taman permainan di Balok Baru 1 di sini pada petang Khamis.

Mangsa, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 13, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian angin kencang berlaku antara jam 5 hingga 6 petang.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini sedang bermain bersama adiknya, Adila Zamia, 9, di kawasan taman permainan itu, manakala bapa mereka, Mohamad Hasnizam Manan, 45, sedang berniaga burger di sebuah gerai berhampiran.

"Menurut adiknya, ketika sedang bermain mereka terdengar bunyi pokok patah, lalu mangsa menariknya untuk segera meninggalkan tempat itu.

"Tiba-tiba sebatang pokok tumbang sebelum dahannya menghempap mangsa yang gagal menyelamatkan diri," katanya.

Lokasi kejadian remaja perempuan maut dihempap pokok tumbang di kawasan taman permainan di Balok Baru 1pada Khamis.
Lokasi kejadian remaja perempuan maut dihempap pokok tumbang di kawasan taman permainan di Balok Baru 1pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, akibat kejadian itu, mangsa anak ketiga daripada tujuh beradik tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan pada bahagian hidung.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dibawa ke HTAA di sini namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Bapa mangsa menghubungi pihak polis kira-kira jam 9 malam memaklumkan berhubung kematian anaknya itu," jelasnya.

Tambah beliau, anggotanya telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mendapati terdapat terdapat lima batang pokok bersaiz besar berada di sekitar tempat kejadian dan sebatang telah tumbang arah taman permainan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pokok tumbang itu pada jam 6.35 petang.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan dilaporkan cedera dan tidak sedarkan diri akibat dihempap pokok tersebut.

"Pokok yang tumbang itu turut menghempap empat kenderaan dan kabel elektrik.

"Bantuan rawatan awal diberikan kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital oleh keluarganya," katanya.

Ismail berkata, anggotanya turut melakukan kerja pembersihan sisa pokok tumbang itu.