Penduduk resah, pokok balak masih tidak ditebang

Pokok-pokok balak yang ditanam sudah melepasi ketinggian tiang lampu dan bumbung rumah penduduk. Gambar kecil: Mohd Khalid
Pokok-pokok balak yang ditanam sudah melepasi ketinggian tiang lampu dan bumbung rumah penduduk. Gambar kecil: Mohd Khalid
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pokok-pokok balak berdekatan Masjid Sultan Abdul Halim di sini yang didakwa mengancam keselamatan penduduk, masih belum diselenggara atau ditebang biarpun telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

Penduduk, Tan Swee Shan, 47, berkata, pokok yang tinggi dan melepasi tempoh matang itu menjadi ancaman sekiranya berlaku ribut sehingga mendatangkan risiko menghempap rumah penduduk.

Menurutnya, projek penanaman balak yang memasuki tahun kelapan itu masih dibiarkan tanpa ada tanda-tanda ingin ditebang atau diselenggara dengan baik.

"Mereka tanam dan tinggal, kawasan itu kini jadi semak, habitat haiwan liar, punca berlaku longkang tersumbat dan ada orang buang sampah dekat situ,"katanya.

Selain itu, Mohd Khalid Alaudin, 61, berkata, keadaan itu menimbulkan keresahan terutama kepada penduduk yang kebanyakan golongan berpencen.

"Pada usia begini kami seharusnya berehat sambil menikmati kehidupan bersama anak cucu, tetapi apabila berada di rumah, hati kami tak tenang setiap kali hujan lebat dan ribut duk memikirkan dan berdoa agar janganlah berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Kalau lihat pada mata kasar, pokok ini sangat tinggi, kejadian ranting patah, reput dan dahan tumbang dah biasa berlaku, takkan nak tunggu kejadian lebih teruk, baru nak ambil tindakan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan projek penanaman balak membabitkan lebih 2,500 pokok itu dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk.

Antaranya menimbulkan isu keselamatan, kebersihan dan kerugian memandangkan penduduk terpaksa mengeluarkan sejumlah wang bagi membaiki kerosakan bumbung akibat daun gugur yang menutup laluan palung sehingga menyebabkan air tersumbat.

Terbaharu, isu sama telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari yang menggesa pihak berkaitan mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan projek berkenaan.

Menurutnya, ia berikutan aduan awam yang diterima memaklumkan wujud kebimbangan penduduk sekiranya berlaku kejadian tidak diingini jika tiada tindakan segera diambil.