Tiga lelaki ditahan, pil kuda lebih RM50,000 dirampas

Muhamad Zaki menunjukkan pistol yang ditemui dalam sebuah kereta ketika serbuan di Kampung Lubok Jambu.
Muhamad Zaki menunjukkan pistol yang ditemui dalam sebuah kereta ketika serbuan di Kampung Lubok Jambu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan melumpuhkan satu kumpulan yang terlibat dalam pengedaran pil kuda berikutan rampasan 5,200 pil kuda bernilai lebih RM50,000 dalam tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Melalui operasi itu, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Retay 84 FS dan menahan tiga lelaki selain menyita beberapa kenderaan dengan nilai keseluruhan RM55,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun berkata, polis menahan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas kira-kira jam 5.30 petang Rabu.

"Pemeriksaan di badan lelaki berusia 36 tahun menemui pil kuda dianggarkan bernilai RM20,000. Polis turut menyita kenderaan jenis Perodua Kelisa dan Honda Beneli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kelantan di sini pada Jumaat.

Menurut Mohamad Zaki, hasil ujian urin mendapati lelaki yang juga penganggur itu positif dadah dan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan seorang peniaga berusia 29 tahun di tepi jalan tali air Kampung Lubok Jambu di sini pada jam 10.30 malam pada hari sama.

"Ketika penahanannya, lelaki itu memegang bungkusan berisi 2,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM20,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada sitaan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Satria serta dua motosikal Yamaha RXZ dan Yamaha 125ZR.

Muhamad Zaki (kanan) ketika sidang media di IPK pada Jumaat.
Muhamad Zaki (kanan) ketika sidang media di IPK pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu negatif dadah dan tiada rekod lampau.

Mohamad Zaki memberitahu, polis kemudian menahan seorang penganggur berusia 27 tahun pada jam 12.40 tengah malam Khamis di sebuah rumah di kampung sama.

Pemeriksaan di dalam kereta menemui sepucuk pistol bersama 34 butir peluru yang dipercayai dibawa dari Thailand.

"Kita juga menemui 1,200 pil kuda dalam kereta itu.

"Pemeriksaan di dalam peti sejuk di rumah itu menemui dua liter air ketum," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula 18 dan 19 Januari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 8 Akta Senjata Apu Penalti Lebih Berat 1971," katanya.