Tiga lelaki ditahan, mercun dan bunga api dirampas

Mercun dan bunga api yang dirampas di sekitar Batu Pahat.
Mercun dan bunga api yang dirampas di sekitar Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis menahan tiga lelaki kerana memiliki dan menjual bunga api dan mercun tanpa permit dianggarkan berjumlah RM4,000 di dua lokasi berbeza di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kesemua suspek warga tempatan itu ditahan dalam serbuan dan sekatan jalan raya yang diadakan pada Sabtu dan Ahad.

"Satu serbuan telah dilakukan polis di tepi Jalan Tasik Merdeka, Bukit Pasir pada jam 11.30 malam pada Sabtu.

"Hasil daripada serbuan itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dan merampas sejumlah mercun dan bunga api," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Ismail, dua lagi suspek ditahan ketika sekatan jalan raya di Tanjong Laboh pada jam 2 pagi, Ahad.

"Ketika ditahan, kereta dinaiki suspek mempunyai muatan mercun dan bunga api. Pemandu dan seorang penumpang kereta tersebut masing-masing berusia 28 dan 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

"Antara mercun yang dirampas adalah pelbagai jenis mercun dan bunga api jenama Happy Boom," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967.

"Pihak polis menasihatkan orang awam tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang dalam mencari pendapatan sampingan dan sentiasa menjaga keselamatan diri dalam menghadapi musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi," katanya.