Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan kenaikan semalam untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sekali gus menamatkan spekulasi pasaran mengenai kitaran kenaikan kadar tersebut.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.3050/3100 berbanding dolar AS daripada 4.3130/3185 sewaktu ditutup semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ringgit mendapat rangsangan daripada langkah pro-pertumbuhan oleh BNM dan dasar pegangan harus memberikan dorongan yang dialu-alukan kepada ekonomi.

"Pasaran dan ahli politik akan berpuas hati dengan kecenderungan menurunkan kadar faedah ini dan walaupun dagangan di Bursa Malaysia hanya meningkat sedikit, saya berpendapat ia disebabkan oleh persekitaran penghindaran risiko global selepas data ekonomi AS yang tidak menentu sehingga ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemelesetan di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata mesej disampaikan untuk memulakan tahun 2023 adalah jelas, beliau berkata, tahun lepas adalah mengenai normalisasi Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah, tahun ini pula ialah mengenai normalisasi China, ia akan terus memacu kekayaan Asia lebih tinggi pada 2023.

"Pada 2022, mata wang Asia berprestasi rendah, kami menjangka tahun ini akan menyaksikan mata wang Asia akan mendahului dan mendorong aliran masuk pasaran ekuiti terutamanya daripada pelabur AS yang sangat bimbang mengenai kemerosotan kuasa beli dolar AS,” katanya.

Innes menekankan bahawa Malaysia boleh menjadi destinasi untuk beberapa aliran pelaburan tersebut apabila pelabur beralih arah.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2483/2523 daripada 3.2793/2840, ia meningkat berbanding euro kepada 4.6602/6656 daripada 4.6878/6938 dan bertambah berbanding pound Britain kepada 5.3111/3172 daripada 5.3300/3368 ketika ditutup pada Rabu.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3544/3588 daripada 3.3331/3376 ketika ditutup semalam. - Bernama