Tunggakan gaji pemain Melaka United cecah RM2.3 juta

PFAM dedahkan Melaka United berhutang tunggakan gaji berjumlah RM2.3 juta kepada para pemainnya bermula Julai sehingga Disember tahun lalu.
PFAM dedahkan Melaka United berhutang tunggakan gaji berjumlah RM2.3 juta kepada para pemainnya bermula Julai sehingga Disember tahun lalu.
A
A
A

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan Melaka United berhutang tunggakan gaji berjumlah RM2.3 juta kepada para pemainnya bermula Julai sehingga Disember tahun lalu.

PFAM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ia sesuatu yang mendukacitakan dengan situasi enam bulan tidak bergaji dihadapi pemain.

"Pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan.

"Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United FC amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi.

"Pemain seharusnya tidak perlu untuk mereka merayu seolah seolah meminta bantuan ataupun seolah olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri," kata kenyataan itu.

Menurut PFAM, satu keputusan telah dikeluarkan oleh Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan pada November tahun lalu mengarahkan Melaka United untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu.

"Namun sehingga kini, jumlah tersebut masih gagal untuk dibayar. Terkini, laporan tunggakan gaji bagi bulan bulan yang berikutnya telah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

"Dalam masa yang sama, isu pemilikan yang timbul di dalam Melaka United FC mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk menangani masalah tunggakan gaji ini dilihat seolah olah tidak mahu memberi kerjasama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, PFAM bertegas untuk membawa pihak yang bertanggungjawab melunaskan bayaran gaji ke muka pengadilan bagi membela nasib pemain.