Anak dipukul, diseksa kerana hubungi ibu

Chon Siang bertemu ibu kepada mangsa pemerdagangan orang yang berjaya dibawa pulang dari Myanmar di KLIA, Sepang pada Khamis.
Chon Siang bertemu ibu kepada mangsa pemerdagangan orang yang berjaya dibawa pulang dari Myanmar di KLIA, Sepang pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - "Anak sempat hubungi saya beritahu dia dipukul dan diseksa kerana curi-curi hubungi saya" kata ibu kepada mangsa pemerdagangan orang di Myawaddy, Myanmar yang berjaya diselamatkan.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Ng, 46, berkata, dia hanya diberitahu anak bongsunya, Chong Shi Yu, 19, itu telah berada di Myanmar pada 2 Januari tahun lalu.

Kata Ng, waktu itu anaknya memaklumkan keadaannya selamat sebelum sukar dihubungi semula.

"Dia (anak) dapat curi-curi menghubungi saya dan memberitahu dia dipukul, malah kehidupannya susah di sana.

"Dia juga memberitahu agar bantu selamatkannya dan bawanya pulang. Waktu itu perbualan hanya sebentar sebelum saya berusaha mendapatkan bantuan dan membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.

Tambah Ng, ada beberapa ketika juga anaknya sempat bertanya khabar.

"Anak beritahu dia sukar makan dan ada 10 hari tidak mandi kerana air kotor. Dia agak ketakutan dan memberitahu usah hubunginya lagi," ujarnya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, dua mangsa pemerdagangan manusia iaitu Shi Yu dan M Sasivarman, 24, berjaya dibawa pulang pada Khamis.

Katanya, mereka ini dibawa pulang dari Myawaddy, Myanmar.

"Kita akan usaha untuk selamatkan seramai mungkin mangsa tidak kira apa bangsa sekali pun.

"Apa yang peliknya, mereka ini dibawa ke negara terbabit tanpa pasport. Bagaimana sindiket berjaya bawa mereka ke sana? Itu persoalannya," ujarnya ketika ditemui.

Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berkata, seramai 91 mangsa telah berjaya diselamatkan sejak April lalu.

"Mangsa ini dipukul, didera dengan teruk. Ada yang disuruh angkat tong air berulang kali naik tangga. Malah, puntung rokok dicucuh di telinga hingga ada antara mereka jadi pekak.

"Ini antara hukuman sekiranya mangsa-mangsa ini dikesan berhubung untuk minta diselamatkan," katanya.

Ujarnya lagi, empat lagi mangsa termasuk seorang wanita juga dijangka dibawa pulang selepas perayaan Tahun Baharu Cina.