Anwar tiba di Kuching untuk lawatan sulung sebagai PM

Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis bagi memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis bagi memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis bagi memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari sejak dilantik ke jawatan itu pada November lepas.

Pesawat khas membawa rombongan Perdana Menteri tiba di lapangan terbang itu pada jam 4.02 petang dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai kenamaan negeri menyambut beliau.

Pada Khamis, Anwar turut dijadual mengadakan perjumpaan secara tertutup dengan Abang Johari di kediaman Premier Sarawak itu di Petra Jaya di sini sebelum menghadiri jamuan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Pada Jumaat, beliau dijadual menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang turut disertai Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek sebelum menghadiri Kenduri Rakyat sempena Program Jelajah Kerajaan Perpaduan di Kubah Ria di sini.

Beliau kemudian dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Demak Jaya di sini sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. - Bernama

Artikel Berkaitan: