Cadangan bagus letak Piala AFF dalam kalendar FIFA

Noor Azman
Noor Azman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyokong cadangan agar saingan Piala AFF diselaraskan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, cadangan yang disuarakan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino disifatkan sebagai langkah terbaik untuk dilaksanakan.

"Itu adalah kenyataan daripada presiden FIFA sendiri, jadi Kita menyokong dan bagus cadangan itu. Apa yang beliau sarankan agar kalendar AFF diselaraskan dengan Kalendar FIFA itu kita sokong," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu Pengadil bagi Musim 2023 dan Majlis Makan Malam Bersama Pengadil Kebangsaan pada Rabu.

Cadangan Infantino itu mendapat sambutan daripada peminat bola sepak negara yang percaya mana-mana kelab tidak mempunyai alasan lagi untuk melepaskan pemain kerana ia telah berada dalam kalendar FIFA.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman, B Sathianathan menyifatkan cadangan tersebut agak sukar untuk dilaksanakan susulan jadual liga domestik yang tidak selari.

Sathianathan menjelaskan setiap liga domestik di rantau Asia Tenggara perlu diselaraskan terlebih dahulu selain perlu bermula dan berakhir serentak seperti liga di Eropah.

Dalam pada itu, Noor Azman menjelaskan isu tunggakan gaji pemain Melaka United dan Sarawak United telah dibincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Status baru-baru ini.

Menurutnya, FAM telah menghantar surat kepada Sarawak United dan Melaka United mengarahkan kedua-dua kelab itu melangsaikan gaji pemain.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini kita memang dah masuk dalam Mesyuarat Jawatankuasa Status. Apa yang dikemukan tuntutan oleh pemain dah dibawa dalam mesyuarat itu.

"Kita juga dah hantar surat kepada Sarawak United berkenaan tuntutan daripada pemain. Mesyuarat status juga dah mengarahkan Sarawak United dan Melaka United untuk bayar (tunggakan gaji)," katanya kepada media pada Rabu.

Ketika ditanya jika kedua-dua kelab itu tidak dapat menjelaskan tunggakan tersebut, Noor Azman menjawab: "Itu nanti saya akan umumkan," katanya.

Sarawak United dan Melaka United mengalami masalah tunggakan gaji pemain sejak beberapa bulan lalu dan sehingga kini masih belum diselesaikan.

Ia sekali gus menyebabkan kelab tersebut tidak mendapat lesen kebangsaan untuk membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.