Warga KBS perlu amal gaya hidup sihat, cergas

Hannah (tiga dari kiri) dan Adam Adli (dua dari kiri) bersama warga KBS di Putrajaya pada Khamis.- Foto FB Hannah Yeoh
Hannah (tiga dari kiri) dan Adam Adli (dua dari kiri) bersama warga KBS di Putrajaya pada Khamis.- Foto FB Hannah Yeoh
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi pimpinan menteri baharunya, Hannah Yeoh mengajak seluruh warganya untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Beliau juga telah bersama-sama pimpinan tertinggi KBS untuk bersenam setiap Rabu selepas mesyuarat Kabinet.

“Letakkan sasaran untuk mencapai kecergasan dan kurangkan berat badan. Jadikan cita-cita saya untuk mengurangkan berat sebanyak lima kilogram (kg) (telah turun tiga kg) sebagai contoh.

“Dalam KBS, kita mesti sihat dan cergas,” katanya ketika menyampaikan amanat di Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.

Hannah juga meluahkan hasrat agar warga KBS dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Kita perlu sedaya upaya mengurangkan program pada Ahad. Selain demi keluarga, diri sendiri juga perlukan rehat,” katanya.

Beliau juga mahu KBS melaksanakan banyak program dengan kos yang rendah, tetapi mempunyai impak besar kepada majoriti rakyat

terutama mereka yang berada di pedalaman dan akar umbi.

Artikel Berkaitan:

“Setiap polisi dan program kita mesti berdasarkan data supaya berkesan kepada golongan sasar atau pemegang taruh (data driven initiatives),” katanya.

Hannah juga menganggap amanat sebagai satu istilah yang cukup besar, namun cuba menyampaikanya menerusi isi hati buat warga KBS menerusi perkataan yang paling tepat.

“Amanat pertama kepada warga KBS selepas hampir tujuh minggu saya menggalas amanah besar menjadi menteri di kementerian ini,” katanya.

Berikut adalah nota kecil Hannah buat warga KBS yang diharap menjadi panduan bagaimana warga KBS boleh mencapai cita-cita besar itu.

“Kami di pejabat Menteri dan pejabat Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim adalah satu pasukan. Oleh itu, saya mohon kita memberikan kerjasama kepada kedua-dua pejabat ini sebagai satu pasukan.

“Saya dan timbalan tidak memerlukan protokol yang berlebihan. Warga KBS tidak perlu menunggu untuk menyambut ketibaan kami berjam lamanya.

“Tidak perlu berdiri dan menunduk hormat kepada kami. Cukup dengan warga KBS melaksanakan dan menjayakan apa yang telah dipersetujui dalam mesyuarat. Itu sudah memadai dan menjadi tanda kalian menghormati kami,” katanya.

Hannah juga mahu mewujudkan rasa semangat perpaduan dalam KBS tanpa mengira soal kerja dalam kalangan agensi.

“Agensi-agensi mesti saling membantu, elakkan jadi calculative. Jangan lupa, kita adalah sepasukan.

“Team work dan sikap kesederhanaan serta kecemerlangan (spirit of excellence in all we do) di kementerian penting untuk kita menyakinkan masyarakat. Bersama kita membina negara,” katanya.