Mayat dalam bagasi: Mangsa dipercayai dibunuh lebih 12 jam

Sasikala dan laporan Sinar Harian.
Sasikala dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Mayat seorang lelaki yang ditemui dalam sebuah bagasi dipercayai telah dibunuh lebih 12 jam sebelum ditinggalkan di tepi Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Rawang Selatan arah utara di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi berkata, petunjuk itu diperoleh berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa.

"Berdasarkan keadaan mayat, dipercayai mangsa telah meninggal dunia lebih dari 12 jam sebelum ditinggalkan di lokasi mayat ditemui.

"Setakat ini, mangsa dipercayai warga asing berdasarkan pemeriksaan mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin)," katanya ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh di sini pada Khamis.

Menurut Sasikala, setakat ini identiti sebenar mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

"Mereka yang mempunyai kehilangan ahli keluarga diminta segera melaporkan kepada pihak polis.

"Masa sama kita turut akan memohon kerjasama Interpol bagi melakukan semakan berhubung kehilangan mana-mana individu warga asing di negara ini dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa," katanya.

Dalam pada itu, seorang individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat itu pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, setakat ini hanya seorang saksi telah dirakam percakapan berkaitan kes terbabit.

Pada Selasa, media melaporkan polis telah menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 11.45 pagi.

Shafa’aton dilaporkan berkata, pemeriksaan di dalam bagasi berkenaan ada terjumpa serpihan potongan badan iaitu mayat tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki.

Keadaan mayat dipotong dari bahagian pinggang ke atas serta tiada dokumen pengenalan diri dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.