Jambatan Sungai Pulai dibuka hari ini

Jambatan Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah dan Tanjung Bin Pontian.
Jambatan Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah dan Tanjung Bin Pontian.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Jambatan Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin, Pontian dibuka kepada orang ramai bermula Khamis selepas mengambil tempoh lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Jambatan sepanjang 7.5 kilometer (km) itu akan memberi alternatif laluan baharu kepada penduduk Pontian dan Johor Bahru dengan waktu perjalanan dipendekkan kepada 30 minit berbanding lebih satu jam sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jambatan menelan kos RM800 juta hasil kerjasama awam swasta membabitkan Seaport Worldwide Sdn Bhd yang merupakan ahli kumpulan MMC Corporation Berhad.

"Berdasarkan kajian 'Traffic Impact Assessment' dianggarkan sebanyak 3,000 buah kenderaan akan melalui jambatan ini pada waktu puncak setiap jam.

"Jambatan yang dibina pada November 2017 mempunyai laluan dua hala, dua lorong selain mempunyai laluan kapal di bawahnya dengan ketinggian 25 meter dan kelebaran 100 meter," katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Jambatan Sungai Pulai di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan Johor sangat berpuas hati dengan penyempurnaan projek Jambatan Sungai Pulai kerana ia akan membawa manfaat besar kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pembukaan Jambatan Sungai Pulai akan meletakkan Pontian sebagai hab sosio-ekonomi baharu di negeri ini selain merancakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan nilai hartanah selain menggalakkan pembangunan destinasi utama bagi pelaburan asing.

"Ia juga akan membawa pelbagai peluang pekerjaan ke kawasan setempat selain menggalakkan industri pelancongan terutamanya eko-pelancongan di Tanjung Piai dan Kukup, terutamanya pelancong dari Singapura.

"Sasaran pertumbuhan ekonomi sebegini perlu diampuh bukan sahaja dengan perancangan strategik yang radikal, tetapi yang lebih penting lagi adalah kerjasama erat antara agensi kerajaan serta pihak swasta dalam pelaksanaan sesuatu projek," katanya.