Penolong jurutera MBK didakwa terima suapan RM2,000

Mohd Yusrizal (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis
Mohd Yusrizal (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis
A
A
A

KUANTAN - Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menerima suapan RM2,000 daripada seorang individu pada Mac tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Yusrizal Md Ledza, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Yusrizal sebagai penolong jurutera MBK didakwa telah menerima suapan RM1,000 daripada wanita berusia 33 tahun yang dipindahkan secara dalam talian ke dalam akaun miliknya sedangkan tertuduh mengetahui bahawa wanita terbabit mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Temerloh pada 7 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita sama pada 23 Mac tahun lalu di lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwaan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raf'ah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan menyara keluarga termasuk ayahnya yang berusia 66 tahun.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar rayuan itu, Ahmad Zamzani membenarkan Mohd Yusrizal dijamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Temerloh sebulan sekali bermula Februari sehingga kes bicara selesai.

Tertuduh juga perlu menyerahkan passport antarabangsa (jika ada) di Kaunter Mahkamah.

Kes disebut semula 13 Februari depan.