Kantoi bawa ketum dalam but kereta

Daun ketum jenis urat merah yang ditemui di dalam but kereta suspek.
Daun ketum jenis urat merah yang ditemui di dalam but kereta suspek.
A
A
A

SUNGAI DUA - Gerak geri mencurigakan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya membongkar kegiatan sebenar dua lelaki apabila ditemui lebih 100 kilogram (kg) daun ketum di dalam but kereta.

Dalam kejadian jam 11 malam tadi, kedua-dua lelaki yang berusia 34 dan 35 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya yang dilakukan berhampiran Plaza Tol Sungai Dua.

Penolong Pengarah (kanan) Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Pulau Pinang, Ibrahim Muhamad Said berkata, ketika disoal barangan apa yang dibawa di dalam but kereta mereka, salah seorang daripadanya mendakwa tidak membawa apa-apa barang.

Namun menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan dilihat gelabah apabila anggota penguat kuasa mengarahkan mereka membuka but sebelum menemui beberapa bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum jenis urat merah.

"Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap mereka mendapati daun ketum berkenaan diambil dari Pendang, Kedah dan akan dihantar ke Pahang.

"Kesemua daun itu baru sahaja dikutip petang kelmarin dan terus dihantar dengan kereta ke Pahang bagi menjaga kualtinya.

"Difahamkan daun ketum jenis ini mendapat permintaan tinggi dan dijual dengan harga dua kali ganda daripada daun ketum biasa," katanya ketika dihubungi di sini.

Ibrahim berkata, daripada keterangan yang diambil, kedua-dua suspek mengaku telah melakukan kerja ini beberapa kali sebelum ini namun kali ini nasib tidak menyebelahi mereka apabila ditahan dalam sekatan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis morfin dan methamphetamin.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Kepala Batas untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.