Etnik Rohingya paling 'malang' di dunia

Pelarian Rohingya berdoa di penempatan sementara di Ladong, Aceh. - AFP
Pelarian Rohingya berdoa di penempatan sementara di Ladong, Aceh. - AFP
A
A
A

GENEVA - Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan ratusan etnik minoriti Muslim Rohignya yang dianiaya di Myanmar telah maut atau hilang ketika cuba melarikan diri dari tindakan keras junta menuju ke negara jiran, Bangladesh.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada Selasa menyatakan lebih 3,500 etnik tersebut cuba melarikan diri dari Myanmar dengan merentas laluan laut pada 2022.

Jurucakapnya, Shabia Mantoo berkata, jumlah itu mewakili peningkatan terbesar berbanding tahun sebelumnya apabila 700 dikesan melakukan perjalanan merbahaya ke negara jiran.

Bagaimanapun tambahnya, hanya 3,040 pelarian berjaya tiba ke pesisir pantai negara jiran.

"UNHCR merekodkan peningkatan membimbangkan dalam jumlah kematian. Sekurang-kurangnya 248 individu maut atau hilang di laut pada 2022, sekali gus menjadikannya antara tahun paling teruk sejak 2014.

"Mereka memilih perjalanan laut paling merbahaya demi mencari perlindungan, keselamatan, penyatuan semula keluarga dan mata pencarian di negara lain," katanya.

Justeru, PBB menyifatkan etnik Rohingya sebagai minoriti paling teraniaya di dunia.

Pada tahun 2016 dan 2017, ribuan etnik tersebut turut dibunuh, dirogol dan diseksa atau ditangkap junta Mynamar.

Artikel Berkaitan:

Setiap tahun, ramai di kalangan mereka mempertaruhkan nyawa menaiki kapal untuk lari dari Myanmar dan kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh menuju ke Malaysia serta Indonesia. - Agensi