Soleen bentuk pasukan hadapi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20

SOLEEN
SOLEEN
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zou'bi telah memanggil seramai 43 pemain dari seluruh negara untuk menyertai sesi percubaan dan pemilihan bagi membentuk skuad terbaik menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024, Mac depan.

Sesi percubaan dan pemilihan itu dijadualkan berlangsung empat hari bermula Selasa di Wisma FAM di Kelana Jaya.

Beliau yang juga Ketua Unit Wanita FAM memilih kesemua pemain itu berdasarkan pemerhatiannya pada Festival Bola Sepak Wanita Serantau FAM yang telah dijalankan di beberapa negeri.

"Sesi pemilihan pemain bola sepak wanita ini dijalankan sebagai persiapan awal skuad Malayan Tigress B-20 menghadapi cabaran pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 di Kemboja pada Mac.

"Sepanjang sesi pemilihan selama empat hari itu, barisan pemain yang dipilih perlu menjalani pelbagai ujian kecergasan seperti ujian kepantasan serta 'strength and power' selain latihan intensif di padang," demikian menurut hantaran Facebook rasmi FAM pada Rabu.

Sesi ujian kecergasan yang berlangsung semalam dibantu Ketua Unit Prestasi Tinggi FAM Reuben Jude Balraj.

Soleen yang merupakan bekas Ketua Unit Bolasepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) diumumkan sebagai tenaga kejurulatihan di FAM pada November lepas dan memulakan tugasnya sebulan kemudian. - Bernama

Artikel Berkaitan: