Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan salah guna kuasa

Seorang kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di Johor ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki salah guna kuasa. - Gambar hiasan
Seorang kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di Johor ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki salah guna kuasa. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan seorang kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di negeri ini bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan, lapan tahun lalu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 41 dan 60 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang antara jam 11 hingga 11.30 pagi, Selasa selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2015 hingga tahun lalu, kakitangan tersebut telah menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah tersebut kepada syarikat miliknya sendiri.

Pada masa sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja tersebut kepada syarikat terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel Berkaitan: