Ahli berhak bersuara, kemuka bantahan - Ismail Sabri

Ismail Sabri meluangkan masa hampir sejam melawat pesakit kanak-kanak di Hospital Kajang pada Selasa.
Ismail Sabri meluangkan masa hampir sejam melawat pesakit kanak-kanak di Hospital Kajang pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 termasuk usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan berhak bersuara dan mengemukakan bantahan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut boleh dirujuk melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurutnya, walaupun tidak bersetuju dengan usul tambahan namun sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT), beliau akur dengan suara perwakilan.

"Saya sebagai (AMT) sudah tentu tidak akan mengambil tindakan tetapi mana-mana ahli berhak berbuat demikian dan terserah kepada mereka.

"Bukan bawa ke mahkamah sebaliknya ke RoS. Keputusan parti tidak boleh dicabar di peringkat mahkamah kerana tertakluk kepada Seksyen 18 C Akta Persatuan menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya ketika mengadakan lawatan ke wad pediatrik Hospital Kajang pada Selasa.

Beliau hadir melawat seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera yang ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras pada Sabtu.

Beliau turut meluangkan masa hampir sejam melawat kanak-kanak yang sedang menerima di wad berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, usul yang dikemukakan dan diluluskan semasa PAU itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

Artikel Berkaitan:

"Perlembagaan parti menyebut dengan jelas pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan.

"Walaupun PAU merupakan yang tertinggi dalam parti tetapi apa yang dilakukan dalam PAU tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Seperti di Parlimen, walaupun kita boleh gubal akta tetapi ia tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika bertentangan ia tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau turut menegaskan, tindakan menyekat ahli bersuara akan mendapat mendapat respons tidak baik daripada golongan muda yang kritis.

"Tindakan menyekat itu jelas apabila wakil pelajar daripada kelab UMNO luar negara yang memberi kritikan di twitter telah dihalang berucap.

"Tindakan ini memberikan tanggapan buruk dalam kalangan orang muda terutama melibatkan pelajar.

"Seolah kita tidak boleh ditegur, kalau tidak akan dikenakan tindakan. Dalam parti sudah jelas, siapa tegur akan pecat atau digantung," ujarnya.