Rombakan kabinet: Arifin kekal Exco Pendidikan, Agama Islam

Mohd Arifin (tengah) ketika hadir pada taklimat KSTI di Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu pada Selasa.
Mohd Arifin (tengah) ketika hadir pada taklimat KSTI di Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A


KOTA KINABALU - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif kekal bertanggungjawab memegang jawatan sebagai Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam di negeri ini.

Mohd Arifin antara menteri yang turut terlibat dalam rombakan kabinet Sabah di mana beliau sebelum ini memegang portfolio sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.

"Saya diamanahkan untuk menjadi Exco Pendidikan dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan program-program sebelum ini yang kita laksanakan akan diteruskan.



"Saya diamanahkan untuk itu oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan bidang pendidikan termasuk di bawah ini juga (Kementerian Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI))," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada sesi taklimat KSTI di Wisma Bandaraya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada masih mengendalikan bidang pendidikan dan agama Islam berikutan rombakan kabinet Sabah yang berlaku baru-baru ini.

Bercakap mengenai taklimat yang dihadirinya, Mohd Arifin memaklumkan kementeriannya itu turut bertanggungjawab menyelaras capaian internet di seluruh Sabah.

"Setakat ini capaian internet di Sabah adalah 88.06 peratus di mana sebanyak 154 menara baharu telah siap dan perancangannya ada sebanyak 611 menara," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan kementerian itu dalam perancangan untuk membina sebuah Pusat Sains Sabah di negeri ini.

"Kita akan berusaha mewujudkan Pusat Sains Sabah pada tahun ini supaya kita dapat membantu pelajar mesra dengan sains dan teknologi.
Artikel Berkaitan:


"Ia akan dibina di Kota Kinabalu dan kita akan cari tempatnya. Ada beberapa tempat kita cadangkan dan kita akan nilaikan tempat itu, yang penting di kawasan ibu kota supaya orang ramai boleh datang termasuk boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan," katanya.