Saarani minta ahli UMNO 'well behave'

Saarani Mohamad.
Saarani Mohamad.
A
A
A

IPOH - Ahli UMNO perlu menunjukkan persepsi yang baik terhadap keputusan Perhimpunan Agung parti itu yang meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sama ada keputusan dibuat itu memberi kesan yang baik atau sebaliknya kepada parti adalah bergantung kepada penerimaan dan reaksi ahli secara keseluruhan.

"Kita sendiri yang menentukan bagaimana untuk berinteraksi ataupun bertindak balas kepada keputusan itu.

"Kalau kita adakan pertandingan pun, kita juga yang menentukannya, tidak ada pertandingan pun kita juga.

"Jadi saya nasihatkan kepada diri saya dan ahli UMNO, kita well behave lah (berkelakuan baik)," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis pecah tanah Projek Perumahan Lahat Eco City dekat sini pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, sebagai entiti tertinggi dalam perlembagaan, keputusan yang dibuat Perhimpunan Agung UMNO itu perlu dihormati dan dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Apa juga keputusan dicapai dalam perhimpunan UMNO adalah keputusan parti dan semua ahli sama ada bersetuju atau tidak bersetuju kita kena mematuhinya.

"Bermakna selepas keputusan dibuat, tak adalah cerita mana lebih baik, mana lebih buruk. Kita kena well behave ikut keputusan parti," katanya.

PAU 2022 telah meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan.

Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.

Mereka senada menegaskan usul tambahan itu bertentangan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.