Turunkan kadar tambang keputusan Grab - Menteri

Grab menerusi laman webnya mengesahkan tambang per kilometer bagi rakan penghantar akan diturunkan namun tambang per minit dinaikkan. - Foto Bernama
Grab menerusi laman webnya mengesahkan tambang per kilometer bagi rakan penghantar akan diturunkan namun tambang per minit dinaikkan. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Tindakan syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia untuk menurunkan kadar tambang per kilometer bagi rakan penghantar adalah keputusan yang dibuat syarikat tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu adalah keputusan komersial yang diambil mereka.

"Itu keputusan komersial (turunkan kadar tambang) Grab. Kita belum ada apa-apa maklumat lagi.

"Saya akan minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk berbincang dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Grab," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan tahun 2023 di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah utara pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rungutan pemandu Grab yang tidak berpuas hati dengan kadar per kilometer yang diturunkan oleh syarikat perkhidmatan e-hailing itu.

Sementara itu menerusi laman web Grab mengesahkan tambang per kilometer akan diturunkan namun tambang per minit dinaikkan, oleh itu tambang keseluruhan menjadi lebih kurang sama.

"Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 16 Januari 2023," kata Grab.

Grab menaikkan kadar tambang per minit daripada RM0.20 kepada RM0.43, sementara tambang per kilometer pula diturunkan daripada RM0.70 kepada RM0.25 sen.

Artikel Berkaitan:

Menurut Grab, kadar tambang disemak semula untuk memberikan bayaran lebih berbaloi bagi masa diambil untuk melengkapkan perjalanan, dan kurang bagi jarak perjalanan.

Untuk rekod, Ogos tahun lalu, Grab Malaysia menjelaskan bahawa syarikat itu tidak pernah menurunkan kadar pembayaran untuk rakan penghantar mereka.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan yang ditimbulkan oleh rakan penghantarnya ketika ini adalah disebabkan oleh gangguan dalam sistem Grab Malaysia yang dialami oleh salah seorang rakan penghantar apabila dia menyedari terdapat percanggahan daripada segi jumlah pembayaran.