Perbicaraan bencana Stadium Kanjuruhan bermula

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

Peminat bolasepak mengadakan bantahan di Malang, Jawa Timur yang menyeru supaya pihak penganjur bertanggungjawab dalam insiden rempuhan maut pada Oktober 2022. - Foto AFP
Peminat bolasepak mengadakan bantahan di Malang, Jawa Timur yang menyeru supaya pihak penganjur bertanggungjawab dalam insiden rempuhan maut pada Oktober 2022. - Foto AFP
A
A
A

SURABAYA - Lima lelaki Indonesia didakwa atas kecuaian sehingga mencetuskan malapetaka sejarah bola sepak terburuk di negara tersebut, hadir ke mahkamah untuk dibicarakan menerusi pautan video pada Isnin.

Rempuhan pada Oktober lalu di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur telah mengorbankan 135 orang, termasuk 40 kanak-kanak selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Semasa kejadian, ratusan orang berlari keluar di jalan sempit sehingga menyebabkan ramai mati terpijak atau mati lemas.

Justeru, tiga pegawai polis tempatan, seorang penganjur perlawanan dan seorang pegawai keselamatan didakwa kerana cuai sehingga menyebabkan bencana tersebut berlaku.

Difahamkan, suspek bakal berdepan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun jika didapati bersalah.

Manakala suspek keenam iaitu seorang bekas pengarah syarikat yang menganjurkan liga perdana Indonesia, masih dalam siasatan polis.

Pada Isnin, pihak berkuasa mengerahkan ratusan anggota keselamatan berkawal di sekitar Mahkamah Daerah Surabaya dan perbicaraan diadakan secara atas talian atas sebab keselamatan. - AFP

Artikel Berkaitan: