Malaysia tingkat kerjasama dengan Kazakhstan

Syed Bakri dalam pertemuan bersama Tileuberdi, baru-baru ini.
Syed Bakri dalam pertemuan bersama Tileuberdi, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berusaha meningkatkan kerjasama dari segi perdagangan, pelancongan dan pendidikan di Kazakhstan bagi memanfaatkan potensi hubungan dua hala antara bekas republik Kesatuan Soviet itu.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Datuk Syed Bakri Syed Abd Rahman berkata, inti pati tersebut turut dibincangkan dalam pertemuan perpisahan bersama Menteri Luar Negeri Kazakhstan, Mukhtar Tileuberdi pada Jumaat lalu.

Menurutnya, hampir 9,000 pelajar dari Kazakhstan telah menamatkan pengajian di universiti Malaysia, termasuk lebih 12,000 pelancong dari negara itu turut melawat negara ini setiap tahun.

“Walau bagaimanapun, terdapat banyak potensi yang masih belum diterokai dan mesti direalisasikan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia tahun ini, selepas ditangguhkan tiga tahun lalu akibat pandemik.

Tileuberdi menyematkan pingat ‘Friendship Darjah Kedua’ kepada Syed Bakri baru-baru ini.
Tileuberdi menyematkan pingat ‘Friendship Darjah Kedua’ kepada Syed Bakri baru-baru ini.

“Sepanjang berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan sejak 2017, beliau telah memudahcara syarikat-syarikat Malaysia di dalam pelaburan mereka di negara itu, antaranya Simen Asia Tengah di Karaganda, dan CaspiOilGas (COG), serta Emir Oil, kedua-duanya di wilayah Mangystau.

“Usaha tersebut sekali gus berupaya meneroka dan merangka proses bagi mengoptimumkan pelaburan syarikat tempatan di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, Kedutaan telah membantu syarikat Malaysia yang menunjukkan minat melabur di Kazakhstan dari segi bidang halal menerusi dalam talian perniagaan global, perbankan Islam dan kewangan,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Syed Bakri dianugerahkan pingat ‘Friendship Darjah Kedua’ berdasarkan sumbangan besarnya terhadap hubungan Malaysia- Kazakhstan.

Syed Bakri berbesar hati dengan penghargaan tersebut dan berharap hubungan dua hala Malaysia- Kazakhstan dapat diperkukuhkan.

“Harapan saya ialah perhubungan baik ini akan terus berkembang dan diperkukuhkan, demi kebaikan dua-dua negara dan rakyat masing-masing,” katanya

Pada perkembangan sama, Tileuberdi dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan atas misi diplomatik Syed Bakri di Astana, sepanjang enam tahun lalu.

Dalam kenyataan itu, Tileuberdi berkata, mereka menekankan isu-isu kerjasama politik, perdagangan, ekonomi, kebudayaan serta kerjasama dua hala, sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kazakhstan.

Beliau juga menyatakan penghargaan atas sumbangan Syed Bakri terhadap kerjasama politik, perdagangan serta ekonomi kedua-dua negara itu.