Projek perumahan baharu tumpu aspek ancaman haiwan liar

Akmal Nasrullah mengedarkan buah limau kepada orang ramai dan peniaga sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Pelangi hari ini. - Foto Bernama
Akmal Nasrullah mengedarkan buah limau kepada orang ramai dan peniaga sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Pelangi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan projek pembangunan perumahan baharu akan memberi lebih tumpuan terhadap aspek ancaman haiwan liar, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, langkah itu susulan terdapat peningkatan laporan berhubung kehadiran haiwan liar seperti gajah di kawasan perumahan khususnya di luar bandar.

Justeru beliau berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam aspek berkenaan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Banyak juga yang dibangkitkan akhir-akhir ini melibatkan haiwan liar yang masuk ke kawasan perumahan, jadi kita perlu bekerjasama dengan Perhilitan untuk mengelakkan musibah lebih besar atau kecederaan sama ada di pihak penduduk mahupun haiwan liar itu sendiri.

"Jadi di peringkat KPKT, isu ini sudah pasti akan dinilai dan pihak pemaju atau PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu memastikan ketetapan yang dibuat dipenuhi, selain pemantauan berterusan juga perlu diteruskan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan buah limau kepada orang awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Pelangi di sini hari ini.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan kehadiran haiwan liar seperti gajah di kawasan kediaman penduduk di beberapa negeri antaranya di Johor, Kelantan dan Pahang.

Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pihaknya sedang meneliti data dan statistik yang lebih tepat berhubung projek perumahan lewat, sakit dan terbengkalai.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh sebulan ini, saya telah kumpulkan data berhubung projek bermasalah dan KPKT sedang berusaha sehabis baik untuk melakukan intervensi bagi projek-projek tersebut, namun ia mungkin mengambil sedikit masa kerana projek itu bukan sahaja melibatkan projek kerajaan tetapi juga pemaju swasta," katanya. - Bernama