300 sekolah daif perlu diselenggara segera

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi keutamaan kepada lebih 300 buah sekolah daif yang dikenal pasti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2023.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan memandang serius isu sekolah daif yang merupakan fokus utama kementerian dalam memastikan kebajikan dan keselamatan guru dan pelajar diutamakan.

"Daripada jumlah tersebut, terdapat 12 sekolah daif terletak di Johor. Senarai sekolah daif akan diperincikan KPM supaya kerja-kerja penyelenggaran dapat dimasukkan dalam belanjawan yang akan dibentang pada bulan hadapan.

"Sudah tentu sekolah daif ini menjadi keutamaan kementerian dan kita akan cuba memohon peruntukkan lebih tinggi. Selain itu, kementerian turut menumpukan isu kebajikan guru dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam Belanjawan 2023," katanya.

Fadhlina ( tengah) dan Mohd Dini (kiri) berbincang mengenai bangunan Sekolah Kebangsaan (Perempuan), Bandar Tinggi Johor Bahru, pada Isnin.
Fadhlina ( tengah) dan Mohd Dini (kiri) berbincang mengenai bangunan Sekolah Kebangsaan (Perempuan), Bandar Tinggi Johor Bahru, pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (Perempuan), Bandar Tinggi di sini, pada Isnin.

Turut sama dalam lawatan itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (Perempuan), Bandar Tinggi, Mohd Dini Karim.

Pada lawatan itu, Fadhlina mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada sekolah tersebut bagi kerja-kerja baik pulih bangunan yang kini berusia hampir 100 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kementeriannya juga sedang mengenal pasti bilangan kuarters guru yang memerlukan penyelenggaraan serta ditambah baik.

Fadhlina (dua dari kanan) menunjukkan bangunan Sekolah Kebangsaan (Perempuan), Bandar Tinggi Johor Bahru, pada Isnin.
Fadhlina (dua dari kanan) menunjukkan bangunan Sekolah Kebangsaan (Perempuan), Bandar Tinggi Johor Bahru, pada Isnin.

"Ada beberapa kuarters guru yang sudah kita kenal pasti untuk diperbaiki bagi memberi keselesaan kepada guru. Isu kuarters yang tidak diselenggara ini perlu diberi perhatian kerana ia membabitkan kebajikan guru.

"Namun jumlah sebenar kuarters daif akan diumumkan dari semasa ke semasa. Berikan kita masa sedikit untuk melihat isu ini supaya usaha pembaikan itu dapat dilakukan segera," katanya.