Tragedi Batang Kali semakin dilupakan

Laporan Sinar Harian mengenai tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember lalu.
A
A
A

TRAGEDI Batang Kali yang menggemparkan negara genap sebulan hari ini, kini seakan-akan semakin dilupakan. Sudah tidak banyak cakap-cakap mengenai langkah konkrit untuk mengelakkan peristiwa tanah runtuh 16 Disember 2022 yang mengorbankan 31 nyawa itu daripada berulang.

Bahang politik tanah air, kisah sensasi rumah tangga selebriti dan harga barang terus mencanak naik pada awal tahun 2023 mungkin menyebabkan ingatan kita semakin singkat akan bahaya yang menanti di lokasi-lokasi pelancongan eko yang kian popular di negara ini.

Dalam kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, seramai 92 peserta terlibat. Mujurlah 61 daripadanya terselamat. Kebanyakan mereka datang ke situ dari bandar-bandar besar termasuk lebih 20 guru dan ahli keluarga dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Apakah yang menyebabkan satu kumpulan besar manusia ini memilih untuk menghabiskan cuti mereka di tapak perkhemahan itu? Selain faktor jarak, lokasi pelancongan alam semula jadi dilaporkan semakin popular untuk warga kota melepaskan tekanan. Beban kerja, lonjakan kos sara hidup dan jalan raya yang sentiasa sesak adalah antara cabaran utama penduduk bandar masa kini.

Jadi, salah satu cara merawat diri adalah dengan mendekatkan diri dengan alam seperti mengunjungi air terjun, hutan lipur dan berkhemah di rimba, ladang sawit bahkan kebun sayur.

Malah, manfaat kesihatan ini telah terbukti dari sudut sains.

Seorang penyelidik dan juga doktor perubatan Jepun, Dr Qing Li dalam bukunya Forest Bathing: How Trees Can Help You Find Health and Happiness mendedahkan, menghabiskan masa di dalam hutan atau dikenali sebagai terapi hutan boleh mengurangkan tekanan, kebimbangan, kemurungan dan kemarahan.

Pada masa sama, ia menguatkan sistem imun, meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan metabolik serta meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

“Di mana sahaja ada pokok, kami lebih sihat dan lebih bahagia,” tulis Li yang tinggal di Tokyo, sebuah metropolitan yang disifatkannya sebagai bandar paling sesak di dunia.

Kuasa penyembuhan hutan ini, jelas Li, terletak pada dua perkara iaitu kepekatan oksigen yang lebih tinggi dan kehadiran bahan kimia tumbuhan yang dipanggil fitonsida iaitu sistem pertahanan tumbuhan terhadap bakteria, serangga dan kulat.

Kini, di hutan Iiyama, Jepun sahaja lebih 2.5 juta orang berjalan di denai hutan tersebut setiap tahun sebagai cara untuk mengurangkan tekanan dan memperbaiki kesihatan.

Hakikatnya, manusia mempunyai keperluan biologi untuk berhubung dengan alam semula jadi.

Dua dekad lalu, ahli biologi Amerika Syarikat (AS), E.O. Wilson menyatakan berada di alam semula jadi mempunyai kesan positif terhadap kesihatan manusia.

Sekumpulan saintis AS juga dilaporkan telah berjaya menemui bahawa sesetengah tumbuhan tropika mengeluarkan gelombang ultrasonik, yang jika diterjemahkan menjadi gelombang elektrik akan dilihat membentuk getaran sebanyak 100 kali setiap saat.

Penemuan saintis itu membuktikan apa yang dirakam al-Quran dalam surah al-Isra' ayat 44 yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya sentiasa mengucap tasbih kepada ALLAH dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.”

Gelombang itu menterjemahkan bahawa alam bertasbih yang boleh dirasai oleh manusia dalam keadaan mereka bertafakur.

Tenaga positif yang dihasilkan daripada tasbih mereka itulah yang menjadikan alam ini tenang.

Justeru, bukanlah mengejutkan apabila terdapat lebih 800 kem aktif di Malaysia dengan sebahagiannya menjadikan tapak perkhemahan sebagai perniagaan utama. Namun, kita tidak mahu tragedi Batang Kali terjadi lagi.

Selain mewujudkan lesen tapak perkhemahan yang belum pernah ada sebelum ini, pihak berkuasa harus memastikan alam tetap terjaga.

Jika banyak pokok ditebang, bukit ditarah dan haiwan pupus, kesannya tenaga positif daripada ‘tasbih alam’ itu semakin menipis lalu memberi kesan kepada fungsi atau magnet terapi hutan. Faktanya, manusia dan alam saling memerlukan.

Sungguh, tragedi Batang Kali sarat dengan iktibar, didikan dan teguran secara halus daripada ALLAH, pencipta sekalian alam.

*Najibah Hassan ialah penyunting Sinar Harian.