Si Wei-Ya Qiong sahkan kejuaraan keempat Terbuka Malaysia

Si Wei-Ya Qiong muncul juara Terbuka Malaysia
selepas menewaskan pasangan dari Jepun pada Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena pada Ahad. - Foto Bernama
Si Wei-Ya Qiong muncul juara Terbuka Malaysia selepas menewaskan pasangan dari Jepun pada Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BEREGU campuran utama dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong muncul juara Terbuka Malaysia kali keempat berturut-turut di gelanggang bertuah mereka, Axiata Arena pada Ahad.

Wakil dari China itu mempertahankan gelaran mereka selepas menundukkan lawan mereka dari Jepun yang juga ketiga dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-19, 21-11 dalam pertembungan akhir berlangsung 44 minit.

Ya Qiong, 28, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas berjaya mencipta kejayaan sulung pada awal musim 2023, dan bertekad mahu mengekalkan momentum atau menyamai pencapaian musim lepas dengan 10 kejuaraan.

"Yuta-Arisa bukan gandingan yang mudah, jadi kami cuba bermain dengan lebih sabar pada set kedua. Saya harap selepas ini, kami akan lebih konsisten (untuk menang kejohanan) dan saya mengakui komunikasi dengan Si Wei adalah penting,” katanya.

Si Wei, 25, menyifatkan kejayaan hari ini dapat meningkatkan tahap keyakinan beliau dalam meneruskan usaha mencipta kejayaan di Terbuka India 2023, bermula Selasa ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada edisi 2018, 2019 dan 2022.

Kejohanan Terbuka Malaysia dibatalkan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: