Malaysia benam Taiwan, muncul juara Kumpulan C

Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menewaskan Tien Chen 21-14, 23-21. - Foto FB FAM
Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menewaskan Tien Chen 21-14, 23-21. - Foto FB FAM
A
A
A

MALAYSIA meneruskan rentak kemenangan selepas menundukkan Taiwan 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C kejohanan Piala Sudirman di Pusat Sukan Olimpik Suzhou pada Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas turut menewaskan Australia dan India.

Skuad badminton negara meraih mata pertama menerusi gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 17-21, 21-19 dan 21-17 dalam pertarungan selama 67 minit.

Lee Zii Jia yang dilihat mula menemui sentuhannya kembali tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain di kedudukan kelima dunia, Chou Tien Chen 21-14, 23-21 untuk meraih mata kedua negara.

Bagaimanapun, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa akur dengan kehebatan pemain di ranking ketiga dunia, Tai Tzu Ying selepas tewas straight set 21-8, 21-10 dalam tempoh 28 minit.

Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan mata ketiga negara selepas mudah menundukkan gandingan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-8, 23-21.

Gandingan beregu wanita negara turut cemerlang menghadiahkan mata keempat buat negara dengan kemenangan ke atas Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun 21-15, 19-21 dan 21-15.

Aksi separuh akhir dijadualkan berlangsung pada Jumaat.