Puteri UMNO Johor tegas menentang pilihan raya PBT

Norakmal
Norakmal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Puteri UMNO Johor menyambut baik pelbagai langkah pembaharuan yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada Sabtu.

Perwakilan Puteri UMNO negeri, Norakmal Mohamad berkata, perkara yang dibentangkan Ahmad Zahid itu dilihat mampu membawa anjakan paradigma baharu kepada UMNO yang kini dalam proses pemulihan dan pengukuhan semula parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun jelas beliau, Puteri UMNO Johor memohon pucuk pimpinan parti itu yang menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan agar dapat memantau kemungkinan ada pihak tertentu yang mahu Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto mereka untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Norakmal yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai berkata, beliau telah menekankan mengenai perkara itu ketika berucap sebagai wakil Puteri UMNO Johor pada persidangan sayap parti itu pada PAU 2022, Khamis lalu.

"Puteri UMNO menentang keras sebarang desakan pihak tertentu supaya PH melalui Kerajaan Perpaduan mengadakan pilihan raya PBT.

"Kami minta Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan wakil UMNO lain yang berada dalam kerajaan agar dapat memantau perkara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru berkata, pilihan raya PBT tidak pernah dilaksanakan sejak kerajaan Persekutuan menggantung pelaksanaannya melalui Undang-Undang Darurat tahun 1965.

Ini kerana jelasnya, implikasi besar membabitkan polarisasi kaum akan berlaku di negara ini jika diadakan pilihan raya PBT dan boleh menjejaskan perpaduan antara kaum.

Artikel Berkaitan:

"Jika pilihan raya PBT ini diadakan pelbagai kesan negatif boleh berlaku dalam aspek perpaduan antara rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

"Antara akan berlaku pengkelasan kaum secara terancang dan melebarkan jurang serta mewujudkan pengasingan kaum mengikut lokaliti serta lokasi. Kita tidak mahu benih kebencian dan prejudis antara kaum ini kembali bercambah sehingga menimbulkan suasana tegang seperti Peristiwa 13 Mei 1963 berulang," jelasnya.

Justeru beliau menegaskan Puteri UMNO Johor mahu tuntutan mengadakan pilihan raya PBT terus dibuang dalam sebarang agenda Kerajaan Perpaduan agar ia tidak terus dijadikan polemik politik.

Sementara itu, Norakmal berkata, kesediaan Presiden dan UMNO untuk melakukan segera proses peremajaan parti amat dialu-alukan oleh Puteri UMNO Johor bagi menjadikan UMNO terus relevan dalam persada politik negara.

"Kalau kita lihat ia juga telah dilaksanakan pada PRN yang lalu dengan 80 peratus adalah muka-muka baharu. Saranan ini adalah berkaitan dengan ucapan saya iaitu proses rejuvanisasi parti di akar umbi haruslah dilaksanakan bagi memastikan institusi UMNO sebagai tunjang dan harapan orang-orang Melayu di pandang tinggi, dipercayai dan dihormati oleh ahli-ahli parti serta rakyat.

"Bagi menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang terus relevan dan menjadi pilihan anak-anak muda, kita perlu menguasai teknologi maklumat dan komunikasi terkini serta mengikut perubahan teknologi semasa agar parti dapat mendepani media sosial dengan berkesan.

"Penggunaan teknologi yang terkini dalam penyediaan data-data berkaitan sikap, nilai dan gaya hidup pengundi-pengundi perlulah dilaksanakan oleh UMNO," katanya.