Tak macam juara dunia

Aksi Aaron (belakang) dan Wooi Yik pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil Khamis lalu. - Foto Bernama
Aksi Aaron (belakang) dan Wooi Yik pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil Khamis lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PRESTASI hambar beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 tidak menggambarkan mereka tampil selaku juara dunia.

Malah, beregu nombor tiga dunia itu gagal menampilkan aksi terbaik mereka sekalipun mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai berkata, prestasi Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Malaysia yang dinaikkan taraf Super 1000 kali ini nyata mengecewakan.

“Saya kecewa bukan disebabkan keputusan (kekalahan di pusingan kedua) tetapi kerana mereka tidak tunjukkan tahap sebenar terutamanya sebagai juara dunia.

“Permainan mereka tidak sampai tahap sebagai juara dunia. Sebagai juara dunia, Aaron-Wooi Yik harus bersedia ambil tanggungjawab kerana sekarang mereka sudah berada di puncak.

“Tahun lepas kita mengejar (memburu kejayaan sehingga bergelar juara dunia), sekarang kita sudah capai sasaran dan cari jalan untuk bertahan,” katanya dalam sidang akhbar di Axiara Arena pada Ahad.

Terdahulu, prestasi hambar Aaron-Wooi Yik mendapat kecaman apabila mereka tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 selepas tumbang di tangan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23.

Kekalahan itu turut mengundang kecewa Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky yang menyifatkan Aaron-Wooi Yik beraksi menentang Yu Chen-Xuan Yi seolah-olah 'tiada jiwa'.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Michelle berkata, beliau mengambil tanggungjawab atas keputusan hambar barisan pemain negara selepas tiada wakil sekurang-kurangnya beraksi di peringkat separuh akhir kali ini.

“Ya... saya ambil tanggungjawab ini, itu tidak disangkal lagi. Tetapi seperti saya katakan, ABM bukanlah (tempat) hendak bermusuh dengan pemain.

“Ia bukan pihak pengurusan menentang pemain atau sebaliknya. Kami berada dalam satu kapal yang sama dengan pemain (untuk memburu kejayaan),” jelasnya.

Beliau memberitahu, semua pihak baik pemain, jurulatih mahupun pengurusan mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam misi mencipta kejayaan.

“Apabila pemain tidak memberikan prestasi terbaik, kami perlu ambil tanggungjawab. Jika pemain berjaya memberikan aksi terbaik, pujian harus diberikan kepada mereka,” ujarnya.