Kehadiran orang ketiga leraikan ikatan perkahwinan lebih sedekad

Gambar hiasan - Foto 123 RF
Gambar hiasan - Foto 123 RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Setiap individu pastinya mengimpikan sebuah kehidupan berumah tangga yang bahagia hingga ke akhir hayat.

Bagaimanapun, impian tersebut adakala tidak dapat direalisasikan gara-gara kemunculan ‘orang ketiga’ yang sekali gus meruntuhkan rumah tangga yang dibina sejak sekian lama.

Bagi Salman (bukan nama sebenar), kemunculan orang ketiga dalam perkahwinannya beberapa tahun lalu nyata memberikan kesan yang besar dalam kehidupannya.

ARTIKEL BERKAITAN Perosak rumah tangga boleh dipenjara, denda

Malah, kehadiran orang ketiga itu juga telah meleraikan ikatan perkahwinan yang dibinanya selama lebih sedekad bersama isteri tercinta.

Salman berkata, perkahwinan dengan bekas isterinya, Nora (bukan nama sebenar) adalah atas dasar suka sama suka.

Malah katanya, pada awal perkahwinan, kehidupan mereka ternyata cukup bahagia.

“Di peringkat awal perkahwinan kami, semuanya baik-baik sahaja dan kehidupan tambah ceria dengan kehadiran anak sulung.

“Walaupun ketika itu saya hanya bekerja sebagai peniaga, manakala isteri bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, namun kami tetap gembira melalui kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

“Sehinggalah pada suatu ketika, rumah tangga kami ‘berkocakan’ apabila saya mendapat tahu isteri menjalinkan hubungan dengan lelaki lain,” katanya.

Menurut Salman, dia mengetahui perkara berkenaan setelah terbaca kandungan mesej di telefon bimbit isterinya itu pada satu malam.

Katanya, susulan perkara tersebut, berlaku ‘perang besar’ antara mereka berdua hingga menyebabkan isterinya itu keluar dari rumah meninggalkannya bersama anak mereka yang ketika itu berusia tiga tahun.

“Saya memang tidak mengesyaki isteri mempunyai hubungan dengan lelaki lain berdasarkan kepada tingkah lakunya yang lembut dan sopan santun.

“Tetapi rupa-rupanya dia menjalinkan hubungan dengan seorang eksekutif muda di syarikat tempatnya bekerja dan merancang untuk berkahwin.

“Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk berpisah dengan hak penjagaan anak diberikan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Salman berkata, setelah berpisah dengan bekas isterinya itu, dia meneruskan kehidupan dengan anaknya seperti biasa, malah turut bertemu jodoh selepas beberapa bulan berpisah dengan Nora.

“Pada mulanya memang agak sukar untuk meneruskan hidup tanpa seorang isteri, apatah lagi dengan usia anak kami yang masih kecil.

“Namun, mujurlah saya bertemu jodoh dengan individu yang memahami keadaan saya. Kehidupan saya kini kembali tenang bersama keluarga tercinta,” ujarnya.