Lembaga Disiplin UMNO akan bincang dakwaan dibuat Khairy

Ahmad Zahid menunjukkan kad identiti untuk masuk ke Dewan Merdeka. - FOTO ROSLI TALIB
Ahmad Zahid menunjukkan kad identiti untuk masuk ke Dewan Merdeka. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Disiplin UMNO akan membincangkan dakwaan yang dibuat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan cubaan membawa masuk 'perwakilan import' bagi mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas itu ia akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya (Mohamad),” kata Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas penggulungan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Sebelum itu media melaporkan, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mendakwa beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena PAU 2022.

Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kemudiannya berkata bahawa beliau meminta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan terhadap Khairy yang semberono mengeluarkan kenyataan tersebut.

Jamal menambah, pihaknya selepas ini akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO agar Khairy dikenakan tindakan.

Mengulas mengenai dakwaan 'perwakilan import' yang dibuat Khairy, Ahmad Zahid menafikan perkara tersebut dan menyatakan perlunya ada kad identiti untuk masuk ke Dewan Merdeka.

Artikel Berkaitan:

“Mana boleh masuk kalau tidak ada kad ini,” sambil menunjukkan kad identitinya.