'Strategi salah yang bunuh UMNO, bukan Pas'

Hamzah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil bagi pembinaan Madrasah Nurul Huda, Rantau Panjang, Selama. Foto: Ihsan pembaca
Hamzah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil bagi pembinaan Madrasah Nurul Huda, Rantau Panjang, Selama. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

SELAMA - UMNO sepatutnya menyalahkan strategi pilihan raya yang hampir membunuh mereka dan bukannya Pas.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tuduhan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Pas ingin melenyapkan parti itu tidak wajar diungkapkan.

"Saya mengenali rakan-rakan daripada Pas dan parti komponen lain. Apabila ada mesyuarat pemimpin-pemimpin Pas dalam PN begitu ikhlas untuk menentukan bahawa agenda perjuangan kita itu diterima baik oleh rakyat.

"Sudah tentu ada strategi menentukan kejayaan dan apabila kita menang, ia menunjukkan bahawa strategi kita betul.

"Jadi, tidak bolehlah menuduh bahawa kita membunuh UMNO kerana apabila masuk gelanggang memang ada menang, ada kalah," katanya selepas menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 bagi pembinaan Madrasah Nurul Huda, Rantau Panjang di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Mohamad bahawa Pas ingin membunuh UMNO dan pada masa yang sama menganggap DAP ikhlas terhadap UMNO.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, penerimaan rakyat terhadap kepimpinan PN menjadi punca kemenangan parti itu di seluruh negara.

"Kalau sudah kalah terima hakikat bahawa kekalahan itu kerana silap strategi bukan kerana ada pihak lain yang mahu membunuh UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersama kedua-dua pimpinan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), tidak timbul pun mana-mana parti mempunyai niat membunuh parti lain malah, Pas mempunyai strategi untuk merapatkan silaturrahim," katanya.