PAU 2022: Jamal mahu lembaga disiplin ambil tindakan dakwaan KJ

Jamal (kiri) mengadakan sidang akhbar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Laman Media PAU 2022 pada Sabtu
Jamal (kiri) mengadakan sidang akhbar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Laman Media PAU 2022 pada Sabtu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan dakwaan dibuat oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) dipenuhi dengan perwakilan-perwakilan import bagi mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Tegasnya, kenyataan yang dibuat oleh Khairy itu adalah amat jahat dan mempunyai niat tersembunyi bagi memburukkan parti UMNO.

“Saya sendiri mengamati dakwaan Khairy bahawa dewan perhimpunan agung hari ini dipenuhi dengan perwakilan-perwakilan import adalah tidak benar sama sekali. Kita ketua-ketua bahagian mengenali perwakilan-perwakilan yang ada.

“Jadi, saya minta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan terhadap Khairy yang semberono mengeluarkan kenyataan berniat jahat ini,” katanya pada sidang akhbar di Laman Media, PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Sebelum itu media melaporkan, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mendakwa beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena PAU 2022.

Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Jamal menambah, pihaknya selepas ini akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO agar Khairy dikenakan tindakan.

“Saya berharap Khairy boleh digantung daripada ahli UMNO kerana kenyataannya sangatlah memalukan UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Saya sendiri sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar merasa kenyataan tersebut aib dan seluruh ahli-ahli UMNO bila saya berada di dalam dewan tadi mengatakan mereka sangat tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat Khairy,” jelasnya.