Jambatan rosak teruk, penduduk bimbang terputus hubungan

Mohd Azlan (dua dari kanan) bersama Zhemin (kanan) meninjau keadaan jambatan yang rosak teruk disebabkan banjir yang melanda kampung berkenaan.
Mohd Azlan (dua dari kanan) bersama Zhemin (kanan) meninjau keadaan jambatan yang rosak teruk disebabkan banjir yang melanda kampung berkenaan.
A
A
A

KAMPAR - Susulan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Sahom pada Rabu, beberapa penduduk berdepan risiko terputus hubungan apabila beberapa jambatan mengalami kerosakan teruk.

Seorang penduduk, Mat Radzi Karim, 60, berkata, rumahnya antara sembilan kediaman yang berdepan risiko berkenaan apabila jambatan yang menghubungkan penduduk ke luar tidak lagi boleh digunakan kenderaan empat roda.

Jelasnya, sejak tinggal di situ sejak 25 tahun lalu, belum pernah kejadian bencana seumpama itu berlaku kerana bukan sahaja banjir tetapi jambatan turut rosak.

"Ada sembilan kenderaan di dalam ini tak boleh nak keluar. Jadi tak tahulah nak macam mana nak buat. Mahu tidak mahu, kami terpaksa guna motosikal walaupun keadaan jambatan tidak sempurna.

"Kita risau juga dengan budak-budak nak sekolah lalu jambatan ini. Kita harap pihak berkaitan boleh buat sesuatu untuk bantu penduduk terutama yang hendak bekerja dan bersekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Sahom di sini pada Sabtu.

Seorang lagi penduduk, Lokman Ahmad, 61, menggesa pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri menyegerakan pembinaan semula atau baik pulih jambatan yang terjejas.

Katanya, kejadian berlaku disebabkan air terlalu deras sehingga merosakkan struktur jambatan.

Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, pihaknya sudah mengambil maklum dengan permasalahan dihadapi penduduk.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agensi berkaitan sedang menyiapkan keperluan bagi tujuan pembinaan semula dan baik pulih jambatan yang terjejas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, sebanyak lima jambatan yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda kawasan perkampungan berkenaan sehingga menyebabkan 24 keluar dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sahom di sini.

Dalam pada itu, kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada jam 2 petang Sabtu setelah rumah mereka selamat didiami.

Mangsa juga turut menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin sebanyak RM500 setiap keluarga bagi meringankan beban ditanggung keluarga.