'Pas jangan seronok sangat mahu rampas Selangor' - Rafizi

Rafizi ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.
Rafizi ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, menjadi medan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menghentam Pas yang disifatkannya parti itu sebagai syok sendiri.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, Pas merasakan parti itu hebat yang kononnya gelombang hijau yang kian 'tersebar' kini menggugat kedudukan Selangor hinggakan Pas merasakan mampu untuk merampas negeri itu daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Tegasnya, Pas tidak mampu untuk melakukan hal berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana PH Selangor mempunyai resipi ampuh untuk mengekalkan kekuasaan mereka.

"Perikatan Nasional (PN) hendak 'enjoy' (seronok) sangat biarlah, biarlah dua tiga bulan ini... Pandangan saya kita akan pertahankan Selangor dengan selesa, selepas ini insya-ALLAH kita kejutkan orang ramai terutama geng Pas yang seronok sekarang ini.

"Dengan Pas ini kita tahu perangai dia, kalau kita lihat Pas di media sosial ini tahap keyakinan mereka ini tinggi, macam dia kalahkan Perancis main bola, kekuatan dan kemahiran tidak seberapa di media sosial tetapi dia macam hendak ambil alih Malaysia," katanya di hadapan ratusan Perwakilan Cabang Negeri Selangor di sini pada Sabtu.

Justeru beliau mengingatkan Perwakilan Cabang Negeri Selangor supaya tidak melayan keterujaan Pas terhadap gelombang hijau yang kononnya 'kini menuju' ke Selangor.

"Kawan-kawan ingat ini gelombang hijau di utara ini jangan bimbang, saya hendak beri pendapat peribadi bahawa insya-ALLAH kita akan pertahankan Selangor dengan bergaya.

"Kita akan kejutkan PN, sebabnya kita tahu bagaimana hendak menangani kemarahan rakyat, macam mana hendak pertahankan Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, Pas menang besar apabila menyapu bersih Kelantan dan Terengganu serta menang di beberapa kawasan di utara Semenanjung.