Karangkraf, PESAMP laksana Program Senaskah al-Quran Setulus Kasih

Khairul Annuar (dua dari kiri) menyerahkan cek kepada Muhammad Nasir (dua dari kanan) bersama dengan Shahnaz Khan (kanan) dan Hassan (kiri) sambil memegang naskah Al-Quran yang akan disumbangkan kepada 50 masjid di Narahiwat, Thailand di Ibu Pejabat Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam semalam. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Khairul Annuar (dua dari kiri) menyerahkan cek kepada Muhammad Nasir (dua dari kanan) bersama dengan Shahnaz Khan (kanan) dan Hassan (kiri) sambil memegang naskah Al-Quran yang akan disumbangkan kepada 50 masjid di Narahiwat, Thailand di Ibu Pejabat Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam semalam. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama Sinar Harian, Yayasan Nur Karangkraf dan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia (PESAMP) melancarkan Program Senaskah al-Quran Setulus Kasih.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, tujuan utama program tersebut adalah untuk menggalakkan umat Islam di negara ini menderma al-Quran kepada umat Islam yang memerlukan terutama di negara-negara yang miskin.

Beliau berkata, tabung khas akan ditempatkan di 1,000 buah stesen minyak Petronas di seluruh negara dan kutipan tersebut akan dikumpulkan dan digunakan bagi membiayai projek tersebut sepanjang tahun ini.

"Orang ramai boleh menyumbang untuk membiayai senaskhah al-Quran atau serendah RM1 sahaja supaya hasil kutipan ini nanti akan dapat digunakan untuk menyumbang al-Quran di dalam atau luar negara.

"Buat permulaan kita akan menghantar sebanyak 700 naskhah al-Quran ke Thailand dan jika mendapat sambutan kita mungkin dapat kembangkan ke negara-negara lain seperti Kemboja dan Afrika," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PESAMP, Sinar Harian dan Yayasan Nur Karangkaraf di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden PESAMP, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz; Timbalan Presiden PESAMP, Shahnaz Khan Dell Akbar Khan; Pengasas dan pencetus idea, Program Senaskah al-Quran Setulus Kasih yang juga merupakan ahli PESAMP, Hassan Awang.

Sebanyak lebih 20 pengusaha stesen minyak yang juga ahli PESAMP telah memberikan sumbangan masing-masing dengan nilai terkumpul RM15,000 bagi menaja 700 naskhah al-Quran kepada 50 buah masjid di Pattani, Thailand.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairul Annuar berkata, pihaknya telah memilih untuk bekerjasama dengan Kumpulan Media Karangkraf kerana mempunyai keyakinan tinggi dan kredibiliti terhadap syarikat itu yang sebelum ini aktif dalam kerja-kerja amal.

"Kami sangat yakin kepada Karangkraf yang boleh menjayakan program ini kerana setiap sumbangan yang diberikan akan mendapat laporan media sekaligus pihak yang memberikan sumbangan tahu bahawa sumbangan mereka sampai kepada pihak yang amat memerlukan," katanya.

Bagi Shahnaz Khan pula, usaha tersebut juga bertujuan untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa para pengusaha stesen minyak tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

"Kami telah melakukan banyak program khidmat masyarakat termasuk menyumbang wang ringgit dan makanan kepada badan kebajikan tetapi malangnya ada beberapa pihak mempersoalkan tentang sumbangan yang diberikan itu benar-benar sampai atau tidak.

"Jadi kerjasama dengan pihak Karangkraf ini adalah satu daripada usaha kami untuk meuar-uarkan program kebajikan yang dijalankan oleh PESAMP ini benar-benar sampai kepada golongan sasar," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membuat sumbangan juga boleh berbuat demikian menerusi Akaun Maybank Yayasan Nur Karangkraf Malaysia 5622 1820 3361.