Karangkraf terbit 7 juta naskah al-Quran tempoh 10 tahun

Mohd Naim (dua dari kanan) melihat penerbitan al-Quran disaksikan oleh Firdaus (kanan) dan Hussamuddin (kiri) pada majlis Sambutan Ulang Tahun 10 Tahun Al-Quran Karya Bestari dan Memperkenalkan Al-Quran Terbaru Terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023, WTCKL pada Ahad. - Foto Rosli Talib
Mohd Naim (dua dari kanan) melihat penerbitan al-Quran disaksikan oleh Firdaus (kanan) dan Hussamuddin (kiri) pada majlis Sambutan Ulang Tahun 10 Tahun Al-Quran Karya Bestari dan Memperkenalkan Al-Quran Terbaru Terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023, WTCKL pada Ahad. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Karangkraf menerusi Grup Buku Karangkraf berjaya menerbitkan tujuh juta naskah al-Quran menerusi 50 penerbitan dalam pelbagai tema dan saiz sejak 10 tahun yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kesemua cetakan al-Quran itu telah mendapat Kelulusan Pruf Akhir daripada Ahli Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) selepas disemak oleh Lajnah Tasheh Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut beliau, penerbitan itu meliputi al-Quran Mushaf, al-Quran Terjemahan Perkata, al-Quran Tafsir Bil Hadis, al-Quran tafsir ayat-ayat Pilihan, al-Quran Muslimah, al-Quran Hafalan dan al-Quran Terjemahan Bahasa Inggeris The Noble yang telah diedarkan ke seluruh dunia.

“Saya ucapkan tahniah kepada Grup Buku Karangkraf yang telah melakukan usaha murni melalui penerbitan al-Quran.

“Malah seiring dengan usaha penerbitan al-Quran, Kumpulan Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) juga membawa kempen baca, faham dan amal al-Quran.

"Bekerjasama dengan sahabat al-Quran, yang menubuhkan kelas al-Quran secara percuma melalui Rumah Ngaji dan al-Quran Corner yaang jumlahnya ribuan dan tersebar di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10, Al-Quran Karya Bestari dan Majlis Memperkenalkan Al-Quran terbaru terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin.

Sementara itu Firdaus berkata, tiga al-Quran terbaharu yang diperkenalkan adalah al-Quran Multazam saiz besar B4 dilengkapi Waqaf dan Ibtida’.

“Kedua, al-Quran Tahfiz Mudah saiz A4, kami mudahkan orang ramai menghafal ayat-ayat al-Quran melalui kaedah hafalan mudah.

"Ketiga, al-Quran Tahfiz Junior sais B5, adalah keluaran khas untuk kanak-kanak dengan konsep layout yang ceria, memudahkan mereka menghafal ayat-ayat al-Quran meskipun tidak bersekolah tahfiz,” katanya.